Pulau Pinang sambut baik pembukaan sempadan negara

Kon Yeow (kanan) di Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Angkasa-X dengan E&E Manufacturing Partners di Komtar pada Isnin.
Kon Yeow (kanan) di Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Angkasa-X dengan E&E Manufacturing Partners di Komtar pada Isnin.
A
A
A

GEORGETOWN - Pulau Pinang menyambut baik keputusan kerajaan yang berkemungkinan akan membuka pintu sempadan negara pada suku kedua tahun ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, jangkaan itu dilihat sebagai satu langkah berjaga-jaga berikutan peningkatan kes Covid-19 sejak beberapa minggu ini.

"Jangkaan bahawa kerajaan mungkin akan membuka pintu sempadan negara pada suku kedua menunjukkan bahawa langkah itu dibuat dengan berhati-hati.

"Suku kedua boleh mula akhir Mac atau April, kita faham kenapa suku kedua dipilih memandangkan kes meningkat dengan mendadak. Jadi ini adalah langkah yang lebih berhati-hati berbanding cadangan untuk membuka pintu sempadan pada awal Mac sebelum ini," katanya ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Angkasa-X dengan E&E Manufacturing Partners di Komtar pada Isnin.

Tambahnya, keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diyakini akan membuat keputusan terbaik untuk menentukan tarikh dan waktu yang sesuai bagi pembukaan sempadan negara.

"Saya percaya, keputusan itu menunjukkan KKM lebih faham dan tahu keperluan yang perlu dibuat sebelum keputusan membuka pintu sempadan dibuat.

"Saya tidak menentang namun keputusan perlu dibuat dengan penuh berhati-hati," katanya.

Pada Sabtu, kerajaan menjangkakan membuka pintu sempadan negara sepenuhnya pada awal suku kedua tahun 2022 selepas selesai menyediakan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) tidak lama lagi.

Artikel Berkaitan:

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengarahkannya untuk menyediakan garis panduan bagi pembukaan sempadan berkenaan.

Sebelum ini, pada 8 Februari lalu mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang diadakan memutuskan keputusan untuk mencadangkan sempadan negara dibuka sepenuhnya seawal 1 Mac ini tanpa keperluan kuarantin wajib.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow berkata, Pulau Pinang akan membuat keputusan sama ada akan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) baharu termasuk penganjuran bazar Ramadan susulan peningkatan kes pada waktu ini.