Noh Omar tetap masuk, Dewan Rakyat gamat

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjong Karang) tetap menyertai sesi perbahasan Dewan Rakyat hari ini meskipun arahan larangan selama tiga hari memasuki dewan telah dikuatkuasakan.

Kemunculan beliau itu sekaligus mencetuskan perbalahan, di mana Ahli Parlimen Kerajaan ternyata tidak berpuas hati dengan kehadiran Noh.

"Keputusan telah dibuat," kata Khou Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang merujuk kepada keputusan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming pagi tadi yang memutuskan Noh dilarang memasuki Dewan Rakyat selama tiga hari bermula hari ini.

Tampil mempertahankan tindakannya Noh berkata, keputusan yang diputuskan pagi tadi adalah tidak adil kerana beliau tiada di dalam Dewan Rakyat untuk mempertahankan diri.

"Tanya Speaker Singapura pernahkah menggantung ahli Parlimennya tanpa kehadiran orang yang dituduh," tegasnya yang merujuk kepada kehadiran delegasi Parlimen Singapura yang mengunjungi Parlimen hari ini.

Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon kemudian mengarahkan bentara untuk membawa keluar Noh dari Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, Noh enggan dan pembangkang merujuk kepada insiden Lim Kit Siang (PR-Gelang Patah) sebelum ini yang tidak keluar Dewan Rakyat walaupun sudah dijatuhkan hukuman keluar.

Perbalahan terus berlangsung selama 10 minit susulan keengganan Noh berkenaan sehinggalah Mohd Rashid memutuskan supaya Noh dibenarkan berada di dalam dewan sehinggalah tamat sesi perbahasan tengahari ini iaitu pada jam 1 petang.

Artikel Berkaitan:

Noh dilarang memasuki dewan susulan tuduhannya terhadap Kor Ming bahawa beliau tidak layak menjawat jawatan berkenaan.

Ia berhubung kenyataan yang mengaitkan kerjasama Pas dan UMNO dengan Taliban.