Empat kawasan di Pahang, Melaka catat IPU tidak sihat

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kualiti udara empat kawasan di dua negeri di Semenanjung mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat 12 tengah hari ini.

Berdasarkan bacaan terkini IPU di laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS), kawasan Rompin dan Balok Baru Kuantan di Pahang masing-masing mencatatkan bacaan IPU tertinggi iaitu 192 dan 157.

Di Melaka, Bukit Rambai mencatatkan bacaan IPU 112 manakala Alor Gajah mencatatkan 103 dan bandaraya Melaka pula mencatatkan bacaan IPU 93 iaitu sederhana.

Keadaan tersebut menyebabkan ruang udara di kawasan terlibat kelihatan berjerebu terutamanya di awal pagi.

Sementara itu, berdasarkan peta taburan IPU di laman web tersebut, sebanyak 60 stesen JAS di seluruh negara mencatatkan bacaan IPU sederhana dan hanya dua stesen mencatatkan bacaan baik iaitu di Sandakan dan Tawau, Sabah dengan bacaan IPU 37 dan 35.

Bacaan IPU 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, antara 51 dan 100 (sederhana), antara 101 dan 200 (tidak sihat), antara 201 dan 300 (amat tidak sihat) dan lebih 301 (berbahaya).

Untuk mengetahui bacaan IPU, orang ramai boleh merujuk portal apims.doe.gov.my.

Sementara itu Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam Melaka Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab berkata rakyat di negeri ini perlu mengambil langkah berjaga-jaga dengan bacaan IPU tidak sihat yang dicatat di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

"Dalam cuaca yang sangat panas ini juga elakkan pembakaran secara terbuka dan banyakkan meminum air masak," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Jabatan Alam Sekitar Negeri Melaka mengingatkan pihak sekolah mengambil langkah segera sekiranya fenomena jerebu melanda kawasan atau daerah di mana sekolah itu berada.

Menurut jabatan itu, jika bacaan IPU melebihi 150 pihak sekolah hendaklah mengambil langkah segera menghentikan semua aktiviti di luar bilik darjah yang melibatkan murid-murid berisiko tinggi dengan fenomena tersebut.

"Jika IPU melebihi 250 pihak sekolah hendaklah menghentikan semua aktiviti kokurikulum dan aktiviti di luar bilik darjah. Semua sekolah yang berada di dalam kawasan atau daerah yang mempunyai IPU melebihi 300 hendaklah ditutup dengan serta merta," kata jabatan itu dalam satu kenyataan.- Bernama