Pulau Perhentian, Jertih sebagai kluster ekopelancongan

Tengku Farok Hussin (dua, kanan) memotong riben ketika mengadakan lawatan ke Bukit Bubus, Tembila di sini.
Tengku Farok Hussin (dua, kanan) memotong riben ketika mengadakan lawatan ke Bukit Bubus, Tembila di sini.
A
A
A

BESUT – Pulau Perhentian dan Jertih yang terletak di daerah ini kini dikenalpasti oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sebagai kluster ekopelancongan yang berpotensi untuk dipromosi serta dibangunkan secara bersepadu.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil berkata, daerah Besut mempunyai pelbagai produk pelancongan menarik antaranya Pantai Bukit Keluang, Desa Ukiran Kayu, Hutan Simpan Gunung Tebu dan Kolam Air Panas La.

Menurutnya, aktiviti pembuatan rebana, gasing dan persembahan dikir barat serta wayang kulit turut dilihat sebagai tarikan yang unik untuk ditonjolkan kepada pengunjung.

“Tarikan baharu di Besut adalah aktiviti luncur angin atau lebih dikenali sebagai paragliding di Bukit Bubus di mana peluncur boleh berada di awangan mencecah ketinggian 300 hingga 500 meter daripada paras laut.

“Dengan aktiviti ini, peluncur boleh menikmati keindahan panorama jajaran Bukit Keluang, Laut China Selatan yang terbentang luas meliputi Pulau Perhentian dan Pulau Rhu yang sememangnya sudah terkenal,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mengadakan lawatan Ke Bukit Bubus, Tembila, di sini pada Isnin. Hadir sama, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Fadli Yusof Zakaria

Tengku Farok Hussin berkata, Bukit Bubus pernah menerima kehadiran 74 peserta dari 28 negara dalam Kejohanan Luncur Udara Antarabangsa Terengganu (TIPCO) yang dianjurkan kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan pada tahun 2017.

Katanya, Discovery Paragliding Beautiful Terengganu juga pernah diadakan di Bukit Bubus dan kawasan itu akan terus menyerlah di mata dunia apabila Terengganu International Air Festival akan berlangsung di sana pada Ogos nanti.

Artikel Berkaitan:

“Saya harap enam elemen aset pelancongan iaitu attractions (tarikan), accessibility (ketersampaian), amenities (kemudahan), available packages (pakej), activities (aktiviti pelancongan) dan ancillary services (perkhidmatan sampingan) dilihat dengan lebih berfokus dan bersepadu agar Bukit Bubus menjadi tarikan pelancongan tersohor di negara ini.

“Selain itu, JPNT juga telah menyalurkan peruntukkan sebanyak RM143,000 bagi tujuan pengindahan, keceriaan dan kebersihan di 10 lokasi pelancongan terpilih di daerah Besut untuk tingkatkan keselesaan para pelancong,” katanya.