SemarakNiaga Keluarga Malaysia pelengkap usaha kerajaan bantu PMKS

Ismail Sabri (kanan) bersama Tengku Zafrul (kiri) ketika melancarkan Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia pada Isnin. Foto Bernama
Ismail Sabri (kanan) bersama Tengku Zafrul (kiri) ketika melancarkan Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Program Semarak Niaga (SemarakNiaga) Keluarga Malaysia bernilai RM40 bilion menjadi pelengkap kepada usaha kerajaan melalui sektor kewangan dalam menyediakan kemudahan pembiayaan dan bantuan bayaran balik pinjaman kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam fasa pemulihan pasca pandemik Covid-19.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia juga petanda yang jelas komitmen kerajaan dalam memastikan ekosistem PMKS terus berdaya saing.

"Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia dengan nilai keseluruhan berjumlah RM40 bilion akan memperbanyakkan akses pembiayaan kepada sektor perniagaan, terutamanya untuk pengusaha PMKS dan sektor informal.

"Program ini merangkumi pinjaman langsung, jaminan pembiayaan dan suntikan ekuiti untuk dimanfaatkan oleh setiap golongan usahawan," katanya ketika melancarkan Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia di Hotel Hilton di sini, pada Isnin.

Hadir sama, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdu Aziz; Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Mohd Shahar Abdullah dan Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri memberitahu, bagi perniagaan mikro dan kecil, kerajaan peka akan keperluan akses kepada pembiayaan dengan kadar faedah yang rendah.

"Dalam perkara ini, Skim Pembiayaan Informal dan Mikro atau SPIM akan menawarkan pinjaman sehingga RM10,000 pada kadar faedah sifar peratus dengan keutamaan diberi kepada peniaga sektor informal. Saiz dana untuk program ini sahaja berjumlah RM200 juta.

"Bagi usahawan agro-makanan pula, skim mikro kredit oleh Agrobank akan menawarkan pinjaman sehingga RM75,000 pada kadar sifar peratus untuk enam bulan pertama berserta kemudahan moratorium sehingga enam bulan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagi perniagaan yang lebih matang, beliau menjelaskan, institusi kewangan seperti SME Bank akan menawarkan pinjaman sehingga RM10 juta di bawah skim IBS Promotion Fund 2.0 dan RM1 juta di bawah Program Pembiayaan Usahawan Muda 2.0 (atau YEF 2.0) yang secara kolektifnya, saiz dana untuk kedua-dua skim itu berjumlah RM300 juta.

Ismail Sabri menambah, untuk syarikat yang berdaya maju namun mempunyai kekangan mendapatkan dana baharu, kerajaan dan institusi kewangan telah merangka suatu pembiayaan bentuk baharu yang lebih anjal bagi meluaskan keupayaan untuk memulihkan perniagaan.

Ujarnya, salah satunya ialah melalui kaedah 'equity crowd funding' dan 'peerto-peer financing' yang akan disokong dengan peruntukan RM80 juta secara geran padanan untuk Malaysia Co-investment Fund, tambahan kepada pelaburan oleh Bank Pembangunan Malaysia Berhad atau BPMB, sebanyak RM100 juta.

"Bagi membantu syarikat yang berdepan masalah keberhutangan atau 'gearing' yang tinggi, kaedah pendanaan melebihi RM2.2 bilion melalui pelaburan ekuiti dan 'quasi-equity' turut tersedia.

"Kaedah ini diterajui oleh SME Bank dengan dana bernilai RM600 juta. BPMB juga akan menawarkan Skim Rehabilitation and Support Through Equity, atau RESET dengan saiz dana sebanyak RM500 juta," ujarnya.

Ismail Sabri menjelaskan, Bank Negara Malaysia (BNM) juga menyediakan 'Business Recapitalisation Facility' bernilai RM1 bilion untuk tujuan sama.

Oleh itu tegasnya, secara keseluruhannya, sejumlah RM14.2 bilion dana tersedia untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"Untuk ketersediaan dana yang berterusan, dana khas BNM terutamanya 'Targeted Relief and Recovery Facility dan Agrofood Facility'

telah ditingkatkan secara kolektif sebanyak RM2.5 bilion kepada RM10 bilion. Jumlah ketersediaan pelbagai dana PKS BNM pada masa ini adalah sebanyak RM10 bilion.

"Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia juga merangkumi Jaminan pembiayaan perniagaan. Dalam perkara ini, skim di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) akan menyediakan jaminan untuk pembiayaan yang dijadualkan dan distruktur semula dengan had jaminan bernilai RM22 bilion," ujarnya.

Katanya, inisiatif itu akan membantu syarikat mendapatkan pembiayaan baharu yang sebelum ini sukar diperoleh.