Ayam percik Hutan Percha laris, digemari PM

Hassan (kanan) ketika menyediakan ayam percik di rumahnya.
Hassan (kanan) ketika menyediakan ayam percik di rumahnya.
A
A
A

ALOR GAJAH - Biarpun hanya beroperasi pada Jumaat dan Ahad, namun kedai ayam percik di Kampung Felda Hutan Percha, di sini, terkenal sehinggakan turut digemari Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob.

Pemiliknya, Hassan Saad, 65, berkata, bermula dengan hanya menggunakan payung dan meja pada tahun 90-an, akhirnya perniagaan yang diusahakan mendapat sambutan bukan sahaja penduduk dalam Melaka malah luar dari negeri ini termasuk Singapura.

Dibantu isterinya, Rosnani Ali, 55, kata Hassan, kebiasaannya dia akan menyediakan lebih 500 cucuk ayam percik setiap kali beroperasi bermula jam 11 pagi hingga 7 petang.

Ujarnya, jualan ayam percik itu sekurang-kurangnya dapat menambahkan pendapatan dia yang bekerja sebagai penoreh getah.

"Mula-mula dulu saya berniaga hanya guna meja dan payung, tapi tak sangka ayam percik saya terus dapat sambutan sehingga sekarang.

Ayam Percik Felda Hutan Percha yang terkenal sejak tahun 90-an.
Ayam Percik Felda Hutan Percha yang terkenal sejak tahun 90-an.

"Jadi untuk memudahkan kami membakar dan menyediakan ayam percik, saya jadikan kawasan tepi rumah untuk berniaga," katanya ketika ditemui di sini, pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Hassan yang mesra disapa Pak Itam berkata, sejak Ismail Sabri menjawat jawatan sebagai menteri lagi, beliau telah datang ke kedainya.

Malah setiap kali datang ke Melaka, Ahli Parlimen Bera itu pasti akan menempah ayam percik hasil tangan mereka suami isteri.

"Selain Perdana Menteri, Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan beberapa pemimpin politik lain juga tidak ketinggalan menempah ayam percik selain datang ke kedai saya," ujarnya.

Jelasnya, keenakan ayam percik terletak pada kuahnya yang mempunyai pelbagai rasa apabila ayam itu dicelup terlebih dahulu di dalam kuah sebelum dibakar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya, Ngwe Hee Sem (kiri) berkesempatan makan di kedai Ayam Percik Felda Hutan Percha, pada Ahad.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya, Ngwe Hee Sem (kiri) berkesempatan makan di kedai Ayam Percik Felda Hutan Percha, pada Ahad.

"Oleh kerana minat memasak, saya sanggup membeli resipi kuah percik daripada seorang individu. Bila dah dapat resipi, saya cuba beberapa kali menambah ramuan untuk memberi rasa lebih sedap.

"Ada juga yang mencadangkan untuk saya menjual ayam bakar segera (frozen) namun kerana kekangan masa hasrat itu belum dapat dilaksanakan," katanya yang turut mengupah dua kembar orang kurang upaya (OKU) untuk membantunya.