Majikan berhak arahkan pekerja jalani ujian RT-PCR

Gambar hiasan (Gambar kecil: Dr Idaya Husna Mohd)
Gambar hiasan (Gambar kecil: Dr Idaya Husna Mohd)
A
A
A

SHAH ALAM - Majikan mempunyai hak mengarahkan pekerja menjalani ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) di hospital atau klinik panel bagi mengesahkan mereka benar-benar dijangkiti virus Covid-19.

Pensyarah Kanan Jabatan Perhubungan Antarabangsa dan Pengajian Pengurusan dari Universiti Teknologi Mara, Dr Idaya Husna Mohd berkata, pekerja boleh berdepan tindakan salah laku sekiranya didapati sengaja melaporkan dirinya positif Covid-19 melalui ujian Antigen Rapid Test Kit (RTK Antigen) dalam aplikasi MySejahtera dengan tujuan mahu bercuti kerja.

“Mereka juga boleh dipecat sekiranya terbukti bersalah melalui siasatan dalaman yang dilakukan.

“Mengikut Seksyen 14 (1), Akta Kerja 1955, pekerja mesti diberikan siasatan yang sewajarnya sebelum apa-apa tindakan boleh diambil oleh majikan atas sebab salah laku.

“Ini juga melibatkan isu integriti pekerja dalam melaporkan kesahihan sesuatu perkara yang seterusnya melibatkan rangkaian pihak lain,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pernah memaklumkan individu bergejala yang didapati positif selepas menggunakan RTK-Ag tidak perlu melakukan ujian pengesahan RT-PCR.

Sebaliknya, keputusan itu boleh terus dilaporkan ke dalam MySejahtera namun situasi itu dikhuatiri boleh dimanipulasikan pekerja yang sengaja melaporkan dirinya positif Covid-19 dengan tujuan mahu bercuti kerja.

Idaya Husna berkata, secara amnya, mengikut Akta Kerja 1955, seseorang pekerja berhak mendapat cuti sakit selepas pemeriksaan dan cadangan oleh pengamal perubatan berdaftar yang dilantik oleh majikan atau mana-mana pengamal perubatan berdaftar yang kebiasaannya ditanggung majikan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, katanya, tidak berbaloi untuk seseorang pekerja menipu keputusan ujian RTK Antigen yang boleh mengakibatkan mereka berhadapan dengan tindakan salah laku dalam organisasi.

“Justeru, pekerja dinasihatkan berbincang dengan majikan tentang pembahagian tugas dan masa tugasan sekiranya berasa tertekan atau tugasan yang terlalu banyak.

“Pekerja yang bertindak sedemikian (menipu) dipengaruhi pelbagai faktor.

“Oleh itu terdapat keperluan besar untuk menggubal dasar yang lebih strategik bagi meningkatkan kepuasan pekerja, di samping membantu majikan dan memudahkan pembangunan ekonomi negara,” jelas beliau.