OKT maut beberapa hari selepas mengadu sesak nafas

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang lelaki yang juga Orang Kena Tahan (OKT) yang direman sementara menunggu sebutan semula kes di lokap Balai Polis Seri Alam, Johor Bahru di Johor meninggal dunia pada Sabtu.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad berkata, lelaki berusia 49 tahun itu ditahan mengikut Seksyen 39(B)(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 sedang menunggu sebutan semula kes yang dijadualkan pada 10 April.

Menurutnya, OKT pernah mengadu sesak nafas sekitar jam 12.45 tengah hari pada Rabu tetapi telah dibawa ke Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru untuk mendapatkan rawatan.

"Pada 19 Februari (Sabtu) jam 7 pagi, OKT berkenaan didapati tidak sedarkan diri di dalam lokap dan disahkan meninggal dunia oleh koroner yang hadir di tempat kejadian.

"OKT tersebut dihantar ke Hospital Sultan Ismail untuk bedah siasat dan disahkan positif Covid-19. Bedah siasat telah dijalankan oleh Ketua Pakar Forensik Hospital Sultan Ismail," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, punca kematian masih dalam siasatan dan keputusan bedah siasat masih belum diketahui berikutan perlu menunggu laporan ujian makmal oleh pihak patologi.

"Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) JIPS Bukit Aman akan menjalankan siasatan kes kematian ini," katanya..

Artikel Berkaitan: