Petugas media diserang di timur Ukraine

Sebahagian penduduk yang dipindahkan dari DPR ditempatkan di perkampungan Veselo-Voznesenka di Rostov. - Foto AFP
Sebahagian penduduk yang dipindahkan dari DPR ditempatkan di perkampungan Veselo-Voznesenka di Rostov. - Foto AFP
A
A
A

DONETSK - Sebuah saluran TV tempatan yang beroperasi di Republik Rakyat Donetsk (DPR) di timur Ukraine pada Ahad mendakwa kru mereka diserang ketika ketegangan semakin meningkat antara kumpulan pemisah dan pasukan keselamatan di Kiev.

Union TV yang dikendalikan pihak berkuasa tempatan memaklumkan insiden itu berlaku di perkampungan Sakhanka yang terletak di kawasan dikuasai kumpulan pemisah pro-Rusia.

"Wartawan kami bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri tanpa berlaku sebarang kecederaan," kata ketua saluran itu, Nikolay Cherkashin.

Bagaimanapun, ia tidak memaparkan bukti gambar atau video untuk mengesahkan kejadian serangan tersebut selain tidak menyatakan pihak bertanggungjawab berbuat demikian.

Sementara itu, CNN turut mendakwa kru mereka dan wartawan asing lain menjadi sasaran bedilan mortar berhampiran sempadan wilayah bergolak ketika menyertai konvoi bersama Menteri Dalam Negeri Ukraine dan beberapa ahli Parlimen lain, namun tiada kecederaan dilaporkan.

Dalam perkembangan berkaitan, pemimpin kumpulan pemisah di timur Ukraine yang disokong Rusia telah mengisytiharkan pengerahan tentera sepenuhnya pada Sabtu, sehari selepas ia mengarahkan pemindahan golongan wanita dan kanak-kanak ke selatan Moscow.

Ketua DPR, Denis Pushilin menerusi kenyataan video memaklumkan beliau sudah menandatangani dekri berkenaan dan langkah sama disusuli pemimpin LPR, Leonid Pasechnik.

Sehingga pagi Sabtu, kurang 7,000 berjaya dipindahkan selepas pihak berkuasa kumpulan pemisah merancang usaha pemindahan 700,000 penduduk sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi ancaman pencerobohan Rusia.

Artikel Berkaitan:

Sejak Khamis lalu, DPR dan Republik Rakyat Lugansk (LPR) berulang kali mendakwa Kiev membedil di sepanjang garisan pemisah yang ditubuhkan selepas perjanjian gencatan senjata dicapai pada 2014-15.

Kumpulan pemerhati Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama Eropah (OSCE) bagaimanapun melaporkan lebih 1,500 pelanggaran gencatan senjata di wilayah bergolak di Donetsk dan Lugansk yang merupakan angka tertinggi pada tahun ini. - Agensi