Hasrat Farhash tanding di Gombak tidak gugat perpaduan PKR Selangor

Gunaraj George - Foto internet
Gunaraj George - Foto internet
A
A
A

SHAH ALAM - Hasrat bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak untuk bertanding di bahagian PKR Cabang Gombak tidak menggugat perpaduan parti di Selangor.

Ketua Cabang PKR Kota Raja, Dr Gunaraj George berkata, ini kerana kekuatan setiap cabang adalah kerana ahli-ahlinya dan bukan faktor pemimpin yang dipilih semasa pemilihan semata-mata.

Sehubungan itu, beliau berkata, hasrat Farhash Wafa Salvador untuk memimpin PKR Cabang Gombak pada pemilihan akan datang hanya akan tercapai sekiranya ada sokongan ahli parti.

"Kekuatan cabang adalah kerana ahli-ahli mereka, sebab itu seorang (pemimpin) boleh tukar cabang tetapi jika hanya seorang tidak mungkin boleh membawa perubahan.

"Tetapi kekuatan ahli adalah untuk menentukan siapakah yang mereka perlukan untuk mengemudi cabang, sebagai ketua kawasan, ketua cabang dan sebagainya," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Gunaraj yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Skuad Khidmat DUN Sentosa di Ikeda Park, Taman Klang Jaya di sini.

Seramai 100 sukarelawan menyertai Skuad Khidmat DUN Sentosa pada Ahad
Seramai 100 sukarelawan menyertai Skuad Khidmat DUN Sentosa pada Ahad

Penubuhan Skuad Khidmat DUN Sentosa merupakan yang pertama di Malaysia selepas majlis pelancarannya dirasmikan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kira-kira dua minggu lalu di Shah Alam.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, menurut Gunaraj, parti di bawah pimpinan Presiden PKR itu memberi penghormatan kepada setiap ahli parti untuk membuat pilihan dalam memilih pemimpin mereka.

"Mana-mana pemimpin pula berhak untuk membuat pilihan bertanding di mana-mana cabang, kalau seseorang itu boleh tukar cabang dia nak tukar dari Perak ke Selangor, Selangor ke Sabah itu adalah haknya untuk berpindah.

"Tetapi untuk menggugat perpaduan, keharmonian dan ketenteraman cabang atau negeri mahu pun daerah atau Parlimen dan sebagainya, saya ingat tiadalah," katanya.