Penemuan tong sisa kimia cetus kebimbangan penduduk

Beberapa tong kosong ditemui pihak berkuasa di kawasan bakau Sungai Masai, di sini dipercayai mengandungi bahan tercemar - Foto: Raja Jaafar Raja Ali
Beberapa tong kosong ditemui pihak berkuasa di kawasan bakau Sungai Masai, di sini dipercayai mengandungi bahan tercemar - Foto: Raja Jaafar Raja Ali
A
A
A

PASIR GUDANG - Penemuan beberapa tong bahan mencurigakan dipercayai sisa tercemar di Sungai Masai, di sini, menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat.

Perkara itu turut mengejutkan perkampungan nelayan berhampiran yang mana sejak sekian lama menyangkakan pencemaran di sungai itu adalah berpunca daripada sisa kumbahan.

Penduduk Kampung Pasir Gudang Baru, Nurul Suhadah Abdullah, 32 berkata, sejak mendiami kawasan tersebut beberapa tahun lalu, keadaan air di sungai itu memang gelap dan ada kalanya mengeluarkan bau busuk.

“Saya ikut suami duduk sini dah 10 tahun, tetapi dalam tempoh itu memang keadaan sungai di sini sudah teruk, tetapi sejak kebelakangan ini lebih ketara.

“Ditambah dengan pembuangan tong di sungai ini, memang kita rasa tidak selamatlah sebab tidak tahu apa di dalamnya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN Penduduk jumpa 7 tong bau macam cuka

Sementara itu, nelayan, Taha Mokmen, 79 berkata, keadaan sungai yang begitu teruk dalam tempoh beberapa tahun ini memaksa nelayan keluar daripada kawasan sungai untuk mendapatkan hasil laut yang lebih lumayan.

“Saya turun ke laut sejak tahun 1968, memang jauh bezanya dulu dengan sekarang. Pencemaran itu memang ada tetapi tidak sangka pula melibatkan bahan kimia macam ini.

“Kita tahu yang sebelum ini berpunca daripada sisa kumbahan tetapi bila ada bahan kimia macam ini, risau juga. Patut ikan semua tidak naik,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Justeru, Taha berkata, meskipun keadaan sungai tidak begitu berbahaya seperti yang berlaku di Sungai Kim Kim, baru-baru ini, pihak berkuasa harus membuat sesuatu agar perkara ini diatasi sebaiknya.

“Sekarang sungai ini tidak lah sampai ada gas beracun, cuma kalau kering bau busuk yang naik, tetapi kita nak ia juga dibersihkan kerana melibatkan punca rezeki masyarakat di sini.

“Ia juga melibatkan hasil tangkapan kami, benda makan itu, kalau dah kena kimia kami risau benda lain pula jadi,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan beberapa tong kosong ditemui pihak berkuasa di kawasan bakau Sungai Masai, di sini dipercayai mengandungi bahan tercemar.