PRN Kedah: PH 'tunggu dan lihat'

Johari Abdul
Johari Abdul
A
A
A

BALING - Pakatan Harapan (PH) Kedah mengambil pendekatan untuk 'tunggu dan lihat' desas-desus Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah yang didakwa akan diadakan selepas PRN Johor.

Pengerusi PH Kedah, Datuk Johari Abdul berkata, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor juga beberapa kali menegaskan bahawa kerajaan negeri masih stabil sehingga hari ini.

Jelasnya, tidak ada pihak terutamanya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Barisan Nasional (BN) yang menyertai pihaknya menarik sokongan terhadap Muhammad Sanusi.

"Dalam kes ini, kita lihat Menteri Besar Kedah berkali-kali menyatakan bahawa tidak berlaku kekecohan di kalangan parti pemerintah, jadi kita 'tunggu dan lihat'," katanya pada sidang akhbar di Padang Awam Kg Lalang, Baling pada Ahad.

Beliau berkata demikian selepas Program Kenduri Rakyat memperingati Peristiwa Demonstrasi Baling dan Kebangkitan Rakyat 1974 yang turut disertai Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas lanjut, Johari berkata, difahamkan tidak ada gerakan daripada ADUN PH yang mahu menjatuhkan kerajaan Kedah pimpinan Muhammad Sanusi setakat ini.

Dalam pada itu, beliau yang juga ADUN Gurun menjelaskan, persiapan PH Kedah bagi menghadapi PRU-15 kini berada pada fasa menyiapkan manifesto.

Minggu lalu, media melaporkan beberapa pihak termasuk Pengarah Komunikasi Pergerakan Pemuda UMNO, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Masyri mencabar Muhammad Sanusi menamatkan kerjasama Muafakat Nasional termasuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah.

Artikel Berkaitan:

Reaksi berikut sebagai respon susulan kenyataan Muhammad Sanusi yang menyatakan bahawa kestabilan politik boleh dicapai jika UMNO tidak lagi memerintah.

Menteri Besar Kedah itu juga dilaporkan menafikan dakwaan DUN Kedah akan dibubarkan susulan penarikan sokongan daripada empat ADUN terhadap kepimpinannya dan menyifatkan hanya merupakan satu khabar angin.