Sila log masuk terlebih dahulu.

Pekeliling elaun penjawat awam antara yang perlu dikaji semula segera

Adnan Mat
Adnan Mat
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pekeliling berhubung pemberian beberapa elaun di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM) adalah antara perkara yang perlu dikaji semula oleh kerajaan secepat mungkin, bersesuaian dengan situasi semasa yang dihadapi penjawat awam.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Adnan Mat berkata pemberian elaun seperti Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK), Elaun Insentif Wilayah dan Bayaran Insentif Bomba di bawah sistem itu ketika ini, dibuat pada kadar yang kecil dan tidak setimpal dengan risiko tugasan yang dihadapi sesetengah penjawat awam.

"Kadar Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) dan Imbuhan Tetap Khidmat Awam (IKTA) pula sudah lama tidak ditingkatkan. Begitu juga Elaun Risiko Penguatkuasa yang pada hari ini kita dapati hanya sebahagian skim perkhidmatan (sektor) sahaja dapat menikmatinya manakala petugas di sektor lain tidak diberikan kemudahan serupa.

"Jadi inilah yang kita maksudkan perlu dibuat kajian menyeluruh agar ia lebih seragam (pemberian elaun), teratur dan saksama kepada seluruh skim yang ada pada perkhidmatan awam,” katanya kepada Bernama sebagai mengulas gesaan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah pada Khamis.

Mohd Shafiq yang baru dilantik sebagai KPPA pada 10 Februari lepas mahu semua pekeliling perkhidmatan awam sedia ada dikaji semula bagi memastikan sama ada ia masih boleh dilaksanakan dalam perspektif semasa.

Mengulas lanjut, Adnan berkata pihaknya juga berharap kerajaan dapat memantau pelaksanaan beberapa pekeliling yang sedang berkuat kuasa kerana berdasarkan aduan diterima, terdapat sebahagian daripada ketua jabatan atau ketua perkhidmatan tidak mengambil berat atau memandang enteng tentang pelaksanaannya, sebagaimana ditekankan dalam pekeliling.

"Contohnya pekeliling perkhidmatan berkenaan kenaikan pangkat secara Time-Based Berasaskan Kecemerlangan, yang perlu dilaksanakan selepas genap tempoh 13 tahun untuk kali pertama dan kali kedua juga 13 tahun tetapi ia tidak diguna pakai secara sistematik.

"Kami di Cuepacs mendapat banyak aduan mengenai ini dan ia telah memberi kesan motivasi yang tidak baik kepada penjawat awam sedangkan pekeliling itu wujud untuk memberi ruang kepada mereka naik pangkat sepanjang dalam tempoh perkhidmatan,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: