Covid-19: Melaka masih teruskan program kerajaan

Gambar kecil: Sulaiman
Gambar kecil: Sulaiman
A
A
A

MELAKA - Kerajaan negeri akan meneruskan program-program rasmi di negeri ini sehingga satu keputusan yang akan dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Covid-19.

Ketua Menterinya, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, program yang diteruskan termasuk Sidang Dewan Undangan (DUN) yang akan berlangsung bermula 28 Februari ini hingga 4 Mac depan.

Menurutnya, sehingga kini belum ada keperluan untuk menangguhkan program kerajaan negeri atau pelaksanaan bekerja dari rumah dalam kalangan kakitangan awam.

Beliau berkata, meskipun varian Omicron merekodkan peningkatan kes, namun kebanyakan mereka yang dijangkiti tidak bergejala dan dalam kategori satu termasuk kadar penggunaan katil di hospital bagi pesakit Covid-19 juga masih rendah.

"Jadi saya akan minta Jawatankuasa Covid-19 untuk berbincang dan putuskan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Setakat ini semuanya masih berjalan seperti biasa sehinggalah satu keputusan dibuat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas menyempurnakan pelancaran Program Firmanmu Di Dadaku di Masjid Al Azim, Bukit Palah di sini pada Ahad.

Hadir sama, Speaker DUN, Datuk Ibrahim Durum, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari, Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil, Exco Kerja Raya, Datuk Rahmad Mariman dan Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Sukri Che Mat.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya juga belum memutuskan untuk membenarkan pengoperasian pasar dan bazar Ramadan.

"Belum lagi, kita akan nilai dahulu berdasarkan kes-kes harian kalau ia terus meningkat, kita akan putuskan SOP berkaitan dalam jawatankuasa Covid-19," jelasnya.