PPZ-MAIWP ajak umat Islam tunaikan zakat

PPZ-MAIWP sentiasa menyediakan pelbagai perkhidmatan bagi memudahkan urusan pembayaran zakat.
PPZ-MAIWP sentiasa menyediakan pelbagai perkhidmatan bagi memudahkan urusan pembayaran zakat.
A
A
A

Umat Islam wajib menunaikan zakat wang simpanan dan Amanah Saham Berhad (ASB) sekiranya ia melebihi kadar nisab yang ditetapkan. Bagaimanapun, masih ramai yang tidak mengetahui kewajipan untuk berzakat dan cara melaksanakan pengiraannya.

Ikuti wawancara wartawan Sinar Ahad, Engku Shariful Azni bersama Pengurus Unit Syariah dan Antarabangsa Pusat Pungutan Zakat - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Ahmad Husni Abd Rahman mengenai zakat ASB dan wang simpanan.

Ahmad Husni
Ahmad Husni

SINAR AHAD: Ramai yang terlepas pandang kewajipan menunaikan zakat wang simpanan. Boleh berikan sedikit penerangan mengenai zakat wang simpanan?

AHMAD HUSNI: Zakat terbahagi kepada dua iaitu zakat fitrah dan zakat harta. Dalam kategori zakat harta, ia terbahagi kepada beberapa bentuk dan sumber seperti zakat pendapatan, zakat emas dan perak, zakat saham, zakat perniagaan, termasuk zakat wang simpanan.

Disebutkan bahawa setiap benda yang disimpan perlu dizakatkan seperti dalam satu hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Ummar RA, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Setiap harta yang dikeluarkan zakatnya itu tidak lagi dipanggil sebagai perbendaharaan atau simpanan tetapi setiap harta yang tidak dikeluarkan zakatnya itu dipanggil perbendaharaan atau pun benda yang kamu simpan.”Dalam konteks ini, zakat wang simpanan ialah setiap wang yang disimpan secara tradisional (simpan sendiri) atau di mana-mana institusi kewangan seperti bank dan perlu dizakatkan.

Berapakah kadar nisab pada tahun 2022?

Nisab ialah jumlah atau kadar minimum sesuatu harta yang kita ada untuk diwajibkan mengeluarkan zakat ke atas harta itu. Di PPZ-MAIWP, kita bersandarkan kepada harga sebanyak 85 gram emas dan tahun ini, kadar nisab ditetapkan sebanyak RM20,361.

Artikel Berkaitan:

Jadi, mana-mana simpanan atau harta yang mempunyai jumlah melebihi nilai tersebut, maka wajib ke atasnya untuk mengeluarkan zakat sebanyak 2.5 peratus daripada amaun berkenaan.

Adakah wang simpanan yang disimpan dalam akaun ASB perlu dizakatkan?

Orang yang menyimpan apa-apa jenis simpanan di ASB adalah berbentuk pelaburan. Jadi, jumlah bayaran zakat yang dikenakan adalah berdasarkan nilai pokok yang disimpan atau dilaburkan berserta dividen.

Jika wang tersebut sudah disimpan dalam akaun ASB untuk beberapa tahun dan ia tidak dizakatkan, individu berkenaan perlu menghitung jumlah dividen setiap tahun termasuk nilai pokok yang disimpan setiap tahun untuk dikeluarkan sebagai zakat wang simpanan.

Jadi, setiap tahun dengan pertambahan jumlah yang melebihi nisab ditetapkan jumlah pokok dan dividen perlu dikenakan zakat.

Sekiranya seseorang itu membuat pinjaman dan ia disimpan dalam akaun bank simpanan, adakah duit tersebut perlu dizakatkan?

Kita perlu melihat bentuk pinjaman tersebut. Jika ia adalah pinjaman yang tidak boleh dikeluarkan seperti pembiayaan dibuat menerusi ASB dan sebagainya, maka ia tertakluk kepada tempoh matang akaun tersebut.

Jumlah pinjaman itu juga tidak akan dimasukkan dalam kiraan zakat wang simpanan. Jika seseorang itu membuat pinjaman yang boleh digunakan tanpa halangan pada bila-bila masa dan ia kekal dalam simpanannya selama setahun, maka dia perlu mengeluarkan zakat wang simpanan daripada jumlah tersebut termasuk apa-apa sahaja keuntungan.

Boleh jelaskan secara ringkas kaedah pengiraan zakat ASB?

Pengiraan zakat ke atas pelaburan ASB boleh dikategorikan berdasarkan beberapa kaedah dan situasi.

Pertama, jika pelaburan dibuat menggunakan wang atau modal sendiri, pengiraan zakat adalah berkadar langsung dengan jumlah pelaburan pokok dan keuntungan (dividen, bonus dan pendapatan ASB) yang diperoleh, mengambil kira baki akhir pelaburan tahunan keseluruhan pegangan unit oleh pelabur (modal pokok dan dividen).

Justeru, formula taksiran zakat adalah seperti berikut – baki akhir pelaburan tahunan x 2.5 peratus.

Kedua, jika pelaburan dibuat menerusi fasiliti pembiayaan ASB dengan pihak bank, pengiraan zakat hanya akan dikenakan ke atas dividen atau keuntungan yang diperoleh.

Modal pelaburan tidak dikenakan zakat ke atasnya kecuali setelah berlakunya penebusan sijil pelaburan ataupun setelah selesai tempoh bayaran balik pembiayaan.

Info grafik berkenaan pembayaran zakat ASB.
Info grafik berkenaan pembayaran zakat ASB.

Formula kiraan adalah seperti berikut – dividen / pendapatan ASB x 2.5 peratus.

Bagaimana pula jika dividen ASB yang diperoleh digunakan bagi membuat pembayaran semula pembiayaan?

Kita guna model sendiri. Pembayaran zakat perlu dari sudut ‘prinsipal’ dan dividen. Jika kita melabur dalam ASB menggunakan pembiayaan, ia dibahagikan kepada dua kategori iaitu dividen yang diperoleh digunakan untuk membayar pembiayaan dan dividen tidak gunakan bagi tujuan berkenaan.

Dividen atau lebihan yang ditolak daripada pembiayaan dalam kedua-dua kategori tersebut, jika jumlah semua itu melebihi nisab, kita perlu bayar zakat wang simpanan.

Apakah hukum melabur dengan apa-apa jenis perbankan Islamik atau konvensional termasuklah pelaburan ASB?

Apa-apa pelaburan atau yang melibatkan perbankan konvensional dan tidak patuh syariah adalah tidak dibolehkan atau haram untuk disertai oleh orang Islam.

Tapi hukum bagi orang Islam menyertai produk-produk pelaburan, simpanan dan pembiayaan yang disediakan oleh institusi kewangan serta perbankan Islam adalah halal.

Apakah saranan untuk galakkan orang ramai menunaikan zakat ASB dan wang simpanan?

Kita perlu faham harta kita adalah hak milik ALLAH SWT dan datang daripada-Nya. Sebagai orang yang beriman, wajar mensyukuri nikmat tersebut dengan melaksanakan tuntutan dan perintahNya menerusi pembayaran zakat wang simpanan jika cukup syarat-syaratnya.