Salah cetak gol ke-150 bersama Liverpool

Salah (kiri) meraikan jaringan ke-150 bersama Liverpool sekaligus membantu The Reds menewaskan Norwich 3-1.
Salah (kiri) meraikan jaringan ke-150 bersama Liverpool sekaligus membantu The Reds menewaskan Norwich 3-1.
A
A
A

PENYERANG Liverpool, Mohamed Salah melahirkan rasa bangganya apabila berjaya menjaringkan gol ke-150 untuk kelab itu ketika membantu merekodkan kemenangan 3-1 ke atas Norwich, sekali gus mengekalkan momentum dalam cabaran kejuaraan mereka.

Bagaimanapun pemain kelahiran Mesir itu enggan menabik dada dengan kejayaan itu sambil memberitahu tumpuannya kini untuk memberi aksi terbaik buat Liverpool.

"Saya sentiasa bangga dapat menjaringkan gol untuk kelab dan paling penting adalah memenangi perlawanan sepertimana yang kami lakukan pada perlawanan ini.

"Apa yang perlu kami lakukan adalah fokus pada setiap perlawanan, itu perkara paling penting.

"Kami tahu apabila anda bersaing dengan Manchester City, mereka kebiasaannya akan memenangi banyak perlawanan. Jadi apa yang boleh kami lakukan ialah fokus pada diri kami sendiri dan lihat apa yang berlaku di hujung musim," katanya.

Untuk rekod, Salah hanyalah pemain ke-10 yang mencapai 150 gol untuk Liverpool dan kedua terpantas selepas Roger Hunt.

Pada perlawanan menentang Norwich, skuad bimbingan Jurgen Klopp dikejutkan dengan gol Milot Rashica untuk meletakkan Norwich di depan pada separuh masa kedua di Anfield.

Bagaimanapun Liverpool menyamakan kedudukan menerusi Sadio Mane minit ke-64 sebelum di depan hasil gol Salah tiga minit kemudian.

Artikel Berkaitan:

Luis Diaz menjaringkan gol pertama untuk Liverpool pada penampilan keempatnya sejak berhijrah dari Porto pada Januari lalu bagi melengkapkan kemenangan Reds sekali gus terus memberi tekanan kepada pendahulu Liga Perdana, Manchester City.