Lebih 400,000 kanak-kanak terima vaksin Covid-19

Sebanyak 454,194 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di negara ini telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 melalui PICKids setakat Sabtu. - Gambar hiasan
Sebanyak 454,194 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di negara ini telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 melalui PICKids setakat Sabtu. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 454,194 individu atau 12.8 peratus populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Malaysia telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) setakat Sabtu.

Berdasarkan data menerusi laman web CovidNow, sejumlah 13,924,411 atau 59.2 peratus populasi dewasa di dalam negara pula telah menerima dos penggalak Covid-19 dan seramai 22,943,785 atau 97.5 peratus lengkap vaksinasi, manakala 23,220,757 atau 98.7 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun, sejumlah 2,798,646 individu atau 89.9 peratus daripada kumpulan itu telah melengkapkan vaksinasi mereka, manakala 2,883,444 atau 92.6 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sebanyak 151,156 dos suntikan vaksin telah diberikan pada Sabtu melibatkan 72,991 suntikan dos pertama, 648 suntikan dos lengkap dan 77,517 suntikan dos penggalak menjadikan jumlah kumulatif vaksin bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kini meningkat kepada 66,018,432.

Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, 34 kes kematian akibat Covid-19 direkodkan pada Sabtu dengan Johor melaporkan lapan kes, diikuti Sabah dengan tujuh kes, Selangor (lima), Melaka (empat), masing-masing dua kes di Kedah, Negeri Sembilan dan Perak, manakala satu kes dicatatkan masing-masing di Kelantan, Pulau Pinang, Sarawak dan Terengganu. - Bernama

Artikel Berkaitan: