Polemik buka sempadan negara

Dalam usaha pembukaan semula sempadan negara, kerajaan bercadang untuk memberi keutamaan kepada negara-negara jiran di rantau dan benua Asia. - Foto fail Bernama
Dalam usaha pembukaan semula sempadan negara, kerajaan bercadang untuk memberi keutamaan kepada negara-negara jiran di rantau dan benua Asia. - Foto fail Bernama
A
A
A

PEMBUKAAN semula sempadan negara sepenuhnya adalah antara agenda penting yang dinanti-nantikan seluruh rakyat Malaysia, di dalam dan luar negara.

Malaysia telah mengambil keputusan untuk menutup kesemua pintu sempadan antarabangsa negara sejak awal tahun 2020 susulan pengisytiharan pandemik Covid-19 bagi membendung penularan virus berbahaya itu.

Baru-baru ini, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah menyuarakan keyakinan bahawa Malaysia sudah bersiap sedia untuk membuka semula sempadan negara sepenuhnya dalam masa terdekat ini.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri telah memberi kepercayaan dengan menyatakan pembukaan semula sempadan negara bakal dilaksanakan secara berperingkat demi mengukuhkan lagi fasa pemulihan ekonomi tempatan.

Dalam usaha pembukaan semula sempadan negara, kerajaan bercadang untuk memberi keutamaan kepada negara-negara jiran di rantau dan benua Asia.

Sebelum ini, pelaksanaan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) dan Gelembung Pelancongan Antarabangsa Projek Rintis Pulau Langkawi telah berjalan lancar.

Ia secara tidak langsung menjadi penanda aras yang efektif kepada pihak kerajaan bagi mengorak langkah bijak membuka semula kesemua pintu sempadan negara, sekali gus menggalakkan kehadiran pelancong asing.

Sektor pelancongan tempatan dan antarabangsa yang telah lumpuh teruk lebih dua tahun lalu akibat krisis pandemik juga mendorong pihak kerajaan melaksanakan cadangan pembukaan semula sempadan negara agar pemulihan sektor penting itu dapat dijalankan secara berperingkat.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, MOTAC difahamkan telah menyediakan strategi dan langkah untuk jangka masa pendek serta panjang sebagai pelan tindakan sebelum pihak kerajaan melaksanakan urusan pembukaan semula sempadan negara.

Sementara itu, akhbar harian Tamil, Makkal Osai menyambut baik keputusan pihak kerajaan dalam usaha pembukaan semula sempadan negara.

Bagaimanapun, Makkal Osai mengesyorkan agar pihak kerajaan perlu memuktamadkan tempoh masa pembukaan semula pintu sempadan negara tersebut.

Pada 8 Februari lalu, Majlis Pemulihan Negara (MPN) telah bersetuju dengan cadangan pembukaan semula sempadan negara secara sepenuhnya tanpa keperluan kuarantin wajib pada 1 Mac depan.

Namun, syor MPN menerima respons kurang memberangsangkan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau menjelaskan bahawa pembukaan semula sempadan negara belum boleh dilaksanakan kerana memerlukan penelitian yang lanjut.

Ismail Sabri menegaskan, buat masa ini, pembukaan semula pintu sempadan negara masih belum sesuai kerana penularan wabak Covid-19 masih berlaku.

Justeru, Makkal Osai meminta pihak kerajaan dan badan-badan yang bertanggungjawab untuk mengurangkan percanggahan pendapat kerana ia akan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat jelata.

Ironinya, pihak kerajaan harus memberi penentuan tempoh masa yang jelas agar rakyat tidak terpedaya dengan ura-ura mengenai pembukaan semula sempadan negara secara sepenuhnya.

Sehubungan itu, sebelum sebarang kenyataan diumumkan, ia perlu diselaraskan dengan pandangan semua pihak terutamanya di Parlimen.

Ketidaktentuan tersebut tanpa disedari mencetus senario tiada kestabilan politik dan kekurangan solidariti tampuk kepimpinan negara.

Isu pembukaan semula sempadan negara sedikit sebanyak menyentuh sensitiviti kelangsungan hidup rakyat di negara ini.

Oleh sebab itu, ia wajar dikendalikan dengan penuh waspada dan hati-hati supaya tidak mengguris perasaan mana-mana pihak.

*Jagatheswary Narayanan ialah penulis bebas di Johor