HSDR entiti Sastera Darul Ridzuan

Kali terakhir Hadiah Sastera Darul Ridzuan diadakan adalah pada tahun 2018.
Kali terakhir Hadiah Sastera Darul Ridzuan diadakan adalah pada tahun 2018.
A
A
A

HSDR hasil kependekan frasa Hadiah Sastera Darul Ridzuan adalah satu entiti sastera dan persuratan negeri Perak. Ia berupa anugerah dan hadiah yang diberikan oleh kerajaan negeri kepada para penulis kreatif yang lahir atau warganegara yang lama bermastautin di Perak, pada masa sama menghasilkan karya sastera bermutu tinggi.

Mereka juga mestilah telah memberikan sumbangan pemikiran dan kegiatan bagi memperkembang sastera di negeri tersebut.

HSDR terbahagi kepada dua komponen utama iaitu anugerah dan hadiah. Anugerah adalah pemberian khas kepada seseorang penulis yang telah berjasa dalam bidang sastera dan berhasil menerbitkan karya bermutu tinggi.

Bagi komponen hadiah pula, karya penulis dipilih sebagai pemenang kerana karya tersebut telah mencapai tahap tertinggi mengikut keputusan panel pengadilan.

Karya yang diadili termasuk genre puisi, cerpen, novel (kanak-kanak/ remaja /dewasa), biografi, autobiografi, memoir, drama (radio/ televisyen/ pentas), esei eceran dan buku kritikan sastera.

HSDR pernah diadakan dengan pelbagai jenama. Pertama kali pada tahun 1987 disebut Anugerah Penulis-Penulis Perak Darul Ridzuan kemudian Anugerah Penulis dan Wartawan Perak (1995) manakala pada 2004 dikenali dengan nama Anugerah Sastera Negeri Perak kedua tetapi pada tahun 2014 diubah kepada Hadiah Sastera Darul Ridzuan keempat dan seterusnya HSDR5 pada tahun 2016 dan HSDR6 (2018).

Penganjuran kali ketujuh dijangka pada tahun ini harus dikekalkan konsep pemberian anugerah termasuk Anugerah Sasterawan Perak Darul Ridzuan, Anugerah Pejuang Sastera Perak Darul Ridzuan, Anugerah Karyawan Sepanjang Hayat Darul Ridzuan dan Anugerah Tokoh Keilmuan Darul Ridzuan; serta pertandingan memilih karya bermutu tinggi dalam pelbagai genre.

Sepanjang enam musim HSDR diadakan, kerajaan Perak telah memilih tiga orang pengarang kreatif sebagai Sasterawan Perak Darul Ridzuan iaitu Suhaimi Haji Muhammad (1987), Mana Sikana (2004) dan Malim Ghozali PK (2014) manakala Anugerah Pejuang Sastera Darul Ridzuan kepada Dr Zabidin Haji Ismail (2014) dan Dr Mohamad Saleeh Rahmad (2018).

Artikel Berkaitan:

Bagi Anugerah Karyawan Sepanjang Hayat Darul Ridzuan penerima pertama ialah Profesor Emeritus Datuk Dr. Mohd Mansor Abdullah (2014), Profesor Emeritus Dr Muhammad Bukhari Lubis (2016) dan Baharuddin Buyong Kahar (2018) manakala Datuk Dr Afifi al-Akiti (2016) dan Profesor Emeritus Dr Abdullah Hassan (2018) menerima Anugerah Tokoh Keilmuan Darul Ridzuan.

Walaupun HSDR pertama kali diadakan pada tahun 1987 tetapi perkembangan persuratan di Perak telah bermula semenjak akhir abad ke-19.

Kegiatan penulisan bertambah subur apabila sebuah akhbar yang pertama terbit dalam Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (NNMB) dikenali sebagai Seri Perak berpusat di Taiping. Kemunculan Seri Perak telah menarik ramai cerdik pandai Melayu menulis dalam akhbar bertulisan jawi itu.

Pasca merdeka

Kepesatan perkembangan penulisan di Perak berlaku pada zaman selepas Tanah Melayu merdeka. Jika sebelum merdeka kebanyakan penulisan penulis-penulis Perak tertumpu kepada berita dan rencana tetapi trend itu berubah selepas merdeka dengan penghasilan karya sastera kreatif seperti puisi, cerpen, skrip drama pentas, skrip drama radio dan novel.

Karya mereka tidak hanya disiarkan dalam akhbar dan majalah di Perak tetapi melebar ke media cetak yang diterbitkan di Singapura, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Kegiatan penulisan terus segar dengan penubuhan persatuan-persatuan penulis, sastera dan bahasa di serata daerah.

Misalnya, Lembaga Pembangun Sastera Perak (Lepas) ditubuhkan di Kuala Kangsar pada tahun 1951, Persatuan Penulis dan Peminat Sastera Telok Anson (Pentas, 1971), Gabungan Ikatan Penulis Kinta (Gatra II, 1975), Persatuan Penulis dan Peminat Sastera Perak (Pesaka-1985), Persatuan Penulis Daerah Manjung (Pedoman-1986) dan Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk) yang lahir di Teluk Intan pada tahun 1992.

Disebabkan hampir setiap daerah di Perak mempunyai persatuan penulis, timbul idea untuk membentuk sebuah badan induk bertaraf negeri bagi memayungi persatuan-persatuan peringkat daerah.

Maka, tertubuhlah Ikatan Persatuan Penulis Perak (IPPP) pada 1977 dengan geran peruntukan kerajaan negeri sebanyak RM10,000.

Sedekad selepas penubuhan IPPP barulah kerajaan negeri Perak menghargai kegiatan dan sumbangan para penulis Perak dengan mewujudkan Malam Anugerah Penulis-Penulis Perak pada tahun 1987 dengan menobatkan Suhaimi Muhammad sebagai Sasterawan Perak yang pertama.

Selain itu, acara itu juga menganugerah sembilan hadiah penghargaan kepada para penulis anak Perak mengikut kategori seperti novel, cerpen, drama, puisi, kritikan sastera dan sebagainya.

Kepercayaan

Menyedari hakikat bahawa program tersebut tidak diteruskan, Karyawan Pk mengambil inisiatif menghantar memorandum kepada kerajaan Perak supaya program penganugerahan kepada penulis-penulis Perak diadakan semula.

Pada 1995 kerajaan Perak di bawah kelolaan Yayasan Perak telah mengadakan program berkenaan dengan nama Anugerah Penulis dan Wartawan Perak.

Pada tahun 2004, Persatuan Penulis Bandar Raya Ipoh (Pintar) dan Majlis Bandar Raya Ipoh mengelolakan Anugerah Sastera Negeri Perak ketiga bagi pihak kerajaan negeri.

Selepas itu program seumpamanya terhenti. Karyawan Pk kemudian menganjurkan Hadiah Sastera Darul Ridzuan keempat atau HSDR4 pada 2014. Bagi acara ini,Yayasan Kampung Karyawan Malim (YKKM) dilantik sebagai urus setia bagi pihak kerajaan negeri.

YKKM terus diberi kepercayaan oleh kerajaan Perak bagi mengendalikan HSDR5 (2016) dan HSDR6 (2018).

Kos pengendalian dan hadiah sangat tinggi, misalnya nilai anugerah Sasterawan Perak Darul Ridzuan ketiga sebanyak RM50,000, anugerah Pejuang Sastera Darul Ridzuan pertama; RM25,000, anugerah Karyawan Sepanjang Zaman pertama menerima RM15,000t manakala anugerah Tokoh Keilmuan Darul Ridzuan pertama sebanyak RM30,000. Jumlah ini belum termasuk nilai hadiah karya pelbagai genre.

HSDR7 yang sepatutnya dianjurkan pada 2020 gagal diadakan atas sebab teknikal. Justeru Karyawan Pk proaktif mengingatkan pihak tertentu agar HSDR7 dapat diadakan walaupun dalam skala kecil.

Penerusan program ini wajar kerana HSDR merupakan entiti sastera Perak yang eksklusif sifatnya dan tersohor dalam kalangan penulis tanah air.

* M Zaki Arif ialah nama pena Dr Zabidin Haji Ismail. Beliau ialah penulis, penyunting, penerbit dan Presiden Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk)