Lima anggota polis cedera letupan bom di Yala

Lima anggota polis cedera dalam satu insiden letupan bom di Yala, selatan Thailand pada Jumaat.(Gambar hiasan) - Foto 123rf
Lima anggota polis cedera dalam satu insiden letupan bom di Yala, selatan Thailand pada Jumaat.(Gambar hiasan) - Foto 123rf
A
A
A

BANGKOK - Lima anggota polis cedera dalam satu insiden letupan bom di Yala, selatan Thailand pada Jumaat.

Ketua Polis Wilayah Yala, Mejar Jeneral Tinnakorn Rangmat berkata, kejadian berlaku ketika pasukan polis itu yang menaiki dua buah kenderaan berasingan sedang membuat rondaan di Pekan Raman.

Dalam insiden kira-kira 8.45 malam (waktu tempatan), beliau berkata sebutir bom buatan sendiri seberat 15 hingga 20 kilogram itu dipercayai dipasang dalam sebuah tong gas di tepi jalan dan diletupkan dengan menggunakan walkie-talkie.

"Letupan itu menyebabkan lima anggota polis yang sedang bertugas cedera. Mereka digegaskan ke hospital untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.

Kelima-lima anggota polis itu dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Sementara itu, seorang penolong ketua kampung maut ditembak di depan rumah di Pattani, malam tadi.

Dalam insiden kira-kira 10 malam (waktu tempatan) semalam, lelaki berusia 45 tahun itu ditemukan maut di depan rumahnya di Kg Thale, daerah Mai Kaen.

Ketua Polis Mai Kaen Kol. Pol. Thalap Lengha berkata siasatan awal mendapati empat suspek lelaki menaiki dua buah motosikal tiba di depan rumah mangsa dan melepaskan tembakan ke arah mangsa sebelum melarikan diri.

Artikel Berkaitan:

Motif kejadian masih disiasat, katanya. - Bernama