Suhaili pimpin MSC

Ibrahim (tengah) menyampaikan perakuan pendaftaran MSC kepada Khairudin di Bukit Jalil minggu lalu.Turut kelihatan Markiman, Suhaili dan Syed Azmir.
Ibrahim (tengah) menyampaikan perakuan pendaftaran MSC kepada Khairudin di Bukit Jalil minggu lalu.Turut kelihatan Markiman, Suhaili dan Syed Azmir.
A
A
A

PRESIDEN Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Labuan (PSTWPL), Datuk Suhaili Abdul Rahman dipilih sebagai Presiden Konfederasi Sepak Takraw Malaysia (MSC) dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu pada Sabtu.

Sebaik secara rasmi menduduki kerusi nombor satu MSC, Suhaili berkata, fokus utama entiti baharu sepak takraw Malaysia induk adalah bagi mendapatkan pengiktirafan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) dan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF).

"Sekarang terpulang kepada ASTAF untuk memutuskan sama ada untuk menerima MSC atau Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) sebagai ahli gabungannya.

"Kami akan menghantar permohonan untuk menjadi ahli gabungan ASTAF. Kami sudah mendapat kelulusan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) dan kini terpulang kepada ASTAF sama ada memilih MSC atau PSM.

"Jika ASTAF membuat keputusan untuk memilih PSM, kami akan bubarkan MSC. Isunya adalah ASTAF tidak boleh lagi menerima PSM dan sebab itu kami tubuhkan MSC.

"Kami di sini bukan untuk berlawan dengan mana-mana pihak, sebaliknya kami di sini demi kepentingan sepak takraw. Jadi, kami tiada masalah untuk memberi laluan sekiranya kami tidak diiktiraf oleh ASTAF," katanya.

Minggu lalu, Pesuruhjaya Sukan, Ibrahim Mohd Yusof telah meluluskan penubuhan MSC yang diwakili enam ahli gabungan - Persatuan Sepak Takraw Selangor (PSS); Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Putrajaya (Pestap); Persatuan Sepak Takraw Sarawak; Persatuan Sepak Takraw Perlis (PSTPs); Persatuan Sepak Takraw Negeri Kedah dan Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Labuan.

Ketika itu, MSC diketuai sementara oleh Pengerusi Jawatankuasa Penajanya (Pro Tem), Datuk Khairudin Samad yang juga Presiden Pestap. Turut hadir Suhaili, Presiden PSS, Datuk Markiman Kobiran dan mantan Presiden PSTPs, Syed Azmir Syed Ahmad.

Artikel Berkaitan:

Berikutan keputusan Pesuruhjaya Sukan itu, timbul konflik baharu apabila PSM turut mengadakan AGM baru-baru ini yang menyaksikan Datuk Mohd. Sumali Reduan dipilih sebagai presiden baharu bagi penggal 2022-2025.

Sumali yang juga Presiden Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Persewip) menggantikan Datuk Seri Ahmad Ismail yang meletak jawatan pada 5 Jun lalu.


Barisan kepimpinan tertinggi MSC


Presiden

Datuk Suhaili Abd Rahman

Timbalan Presiden 1

Datuk Seri Khairuddin Es Abd Samad

Timbalan Presiden 2

Datuk Markiman Kobiran

Naib Presiden

1. Datuk Ismail Abg Saufi

2. Datuk Paduka Syed Unan Mashri Syed Abdullah

3. Syed Araniri Syed Ahmad

4. Wakil dari Sabah (dikosongkan)