Kalau Pas UMNO kahwin, jadi sumbang mahram: Hadi

A
A

1. Kalau Pas UMNO kahwin, jadi sumbang muhram: Hadi

Pas dan Umno tidak boleh 'berkahwin' memandangkan kedua-dua parti itu sebenarnya adalah adik-beradik, kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata jika 'perkahwinan' itu terjalin bermakna ia akan menjadi sumbang mahram.

Istilah perkahwinan itu muncul selepas pemangku presiden Umno Mohamad Hasan berkias bahawa PAS dan Umno rasmi 'bersanding' selepas mesyuarat rasmi kerjasama kedua-dua parti di ibu pejabat Umno awal bulan ini.

Mohamad juga mengibaratkan kerjasama PAS dan Umno dalam PRK Sungai Kandis sebagai proses merisik, sementara di PRK Seri Setia merupakan majlis bertunang.

2. Lagi pembuangan sisa toksik ditemui di Johor

Dalam pihak berkuasa melakukan operasi pembersihan terhadap Sungai Kim Kim yang tercemar di Pasir Gudang, Johor, dua lokasi pembuangan sisa toksik dikesan di sepanjang Sungai Masai dan Sungai Semilang di negeri itu.

Difahamkan, pihak berkuasa yang dimaklumkan mengenai penemuan tersebut di Sungai Masai pada Ahad segera ke lokasi itu di sepanjang Lebuhraya Pasir Gudang, menghala Johor Bahru.

Menurut sumber, lebih 10 tong plastik biru, dipercayai mengandungi bahan kimia, diambil dari Sungai Masai, yang merupakan salah satu saliran utama di Johor.

Berdasarkan semakan terhadap sungai itu, kira-kira 18 kilometer jauh dari Sungai Kim Kim, menunjukkan ia mengalir terus ke Selat Johor di sempadan Singapura.

Sementara itu, kira-kira tujuh tong ditemui dekat Sungai Semilang di Taman Tanjung Puteri Resort pada kira-kira 2.30 petang semalam.

3. Lokasi baru Bazar Ramadan di Jalan Raja

Operasi bazar Ramadan Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR)/Jalan Masjid India dan kawasan sekitarnya pada tahun ini akan dipindahkan ke Jalan Raja iaitu berhadapan Bangunan Sultan Abdul Samad di ibu negara.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, lokasi bazar Ramadan itu akan bermula dari lampu isyarat persimpangan Jalan Gereja hingga ke lampu isyarat persimpangan Leboh Pasar Besar merangkumi jarak 200 meter dan 12 meter lebar.

Cadangan pembinaan itu adalah untuk menyusun semula peniaga sedia ada di sekitar Lorong TAR dan Jalan Masjid India, katanya.

Penutupan itu katanya, bersesuaian dengan inisiatif ROL iaitu kawasan berkenaan akan dijadikan mesra pejalan kaki di samping merealisasikan Kuala Lumpur sebagai bandar rendah karbon.

4. Gelombang haba: Jumlah kawasan tahap berjaga-jaga meningkat

Sebanyak 23 kawasan di Semenanjung dilaporkan berada pada paras berjaga-jaga atau Tahap 1 dengan suhu mencecah antara 35 dan 37 darjah Celcius hari ini berbanding 21 kawasan semalam.

Berdasarkan kemas kini Jabatan Meterologi Malaysia (MET) sehingga pukul 5.25 petang semalam, jumlah itu menunjukkan tiga kawasan baharu iaitu Klang di Selangor; Rembau dan Jelebu di Negeri Sembilan.

Pendang, Kedah kekal pada tahap dua (tahap gelombang haba) iaitu dengan suhu mencecah antara 37 dan 40 darjah Celcius sejak semalam.

Kawasan disenaraikan pada tahap satu ialah, Chuping di Perlis; Kota Setar, Sik, Baling dan Kulim (Kedah); Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta dan Batang Padang (Perak); Jerantut, Raub, Temerloh, Maran dan Bentong (Pahang); Hulu Selangor, Kuala Selangor, Sepang dan Petaling (Selangor); Tangkak di Johor dan Kuala Lumpur.

Gelombang haba berkenaan dijangka berlarutan selama tiga hari berturut-turut sejak semalam.

5. Simone, Ronaldo berdepan hukuman Uefa

Kesatuan Bola Sepak Eropah (Uefa) mengesahkan Cristiano Ronaldo dalam siasatan berikutan aksi tidak senonoh ketika bertemu Atletico Madrid.

Pada aksi Liga Juara-Juara minggu lalu, bintang Portugal itu menjaringkan hatrik dan menunjukkan aksi tidak senonoh, meniru gaya yang dilakukan pengurus Atletico Madrid, Diego Simeone.

Sekiranya didapati bersalah, pemain berusia 33 tahun itu bakal berdepan dengan penggantungan satu hingga tiga perlawanan, namun lebih kepada denda.

Sebelum ini, Simone juga turut didenda €20,000 (RM92,569) kerana melakukan aksi sama ketika pusingan pertama bertemu Juventus

Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia