Remaja mangsa rogol perlu pembelaan sebelum hukuman

Hafidzah
Hafidzah
A
A
A

KOTA BHARU - Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan) mendesak kerajaan memberi pembelaan sewajarnya kepada ibu muda yang menjadi mangsa rogol di Terengganu sehingga mengakibatkan kematian bayinya.

Pengerusi Biro Kesihatan Awan Nasional, Dr Hafidzah Mustakim berkata, dapat dibayangkan trauma yang dihadapi remaja berkenaan sehingga menjejaskan kesihatan emosi dan mentalnya.

"Adakah sesiapa peduli dan memberikan bantuan. Hati ibu mana yang tidak terusik apabila seorang remaja terpaksa menghadapi pertuduhan bunuh kerana menikam bayinya yang baharu lahir sehingga mati.

"Sudah ada desakan daripada beberapa pihak agar pertuduhan diubah kepada infanticide (pembunuhan bayi) yang membawa hukuman lebih ringan.

"Kita membayangkan keadaan mangsa yang bercelaru dan seharusnya kerajaan bertindak pantas menangani kes yang bakal mengundang tragedi berganda ini," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Sabtu.

Menurutnya, kerajaan mesti mewujudkan persekitaran yang lebih selamat untuk wanita dan kanak-kanak daripada gangguan dan keganasan seksual.

Beliau yang juga Ketua Awan Kelantan berkata, pelbagai pendekatan holistik diperlukan untuk menangani isu keganasan dan gangguan seksual termasuk pencegahan serta perawatan meliputi pendidikan sehinggalah penguatkuasaan undang-undang.

"Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) perlu bukan sahaja membela wanita, tetapi mempercepatkan proses perlaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) gangguan seksual di samping peruntukan undang-undang sedia ada.

Artikel Berkaitan:

"Remaja mangsa keganasan seksual perlukan pembelaan bukan hukuman. Perkara ini harus diperincikan sebaik mungkin dan memerlukan tindakan pantas supaya lebih banyak masalah dapat diselesaikan," katanya.