Benarkah suami menanggung dosa isteri?

A
A

SERINGKALI kita terdengar orang kata, selepas berkahwin, dosa isteri akan ditanggung oleh suami.

Benarkah begitu? Bagaimana menurut perspektif Islam?

Sebelum menjawab soalan ini, perlu diketahui bahawa lelaki merupakan pemimpin dan pengawal kepada kaum hawa.

Firman ALLAH SWT: "Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan." (Surah al-Nisa': 34)

Berdasarkan ayat ini, kaum lelaki wajib menyuruh wanita (isteri) menunaikan hak-hak ALLAH dan menghalang mereka daripada melakukan perkara maksiat.

Namun, bagaimana jika isteri terus melakukan maksiat walaupun sudah ditegur? Jika isteri masih berkelakuan begitu meskipun sudah ditegur atau isteri melakukan maksiat di belakang suami, maka isteri itu tetap berdosa. Suami tidak menanggung dosa-dosa tersebut.

Setiap insan mukallaf akan menanggung dosanya sendiri di hadapan ALLAH SWT apabila tiba hari pengadilan.

Seseorang itu sama sekali tidak menanggung dosa orang lain apabila dia telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan sebaiknya.

Semoga ALLAH mengurniakan kita isteri solehah atau suami soleh serta menjadikan keluarga yang terbina itu penuh sakinah, rahmah dan mawaddah.

(Sumber: Irsyad al-Fatwa Siri ke-220: Suami Menanggung Dosa Isteri, Portal Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)