Peniaga tertipu tawaran pakej umrah, buat laporan polis

No Image Caption
A
A
A
KUANTAN - Seorang peniaga membuat laporan polis mendakwa tertipu dengan tawaran pakej umrah kepada wanita Umno sebuah bahagian di Temerloh tajaan seorang individu bergelar Datuk.

Wanita warga emas berusia 62 tahun itu berminat untuk menyertai pakej itu apabila hanya dikenakan bayaran RM2,200 manakala RM5,000 lagi ditaja penaja berkenaan.

Mangsa berasa tertipu apabila tarikh perjalanan mereka ke tanah suci pada 1 Disember 2018 ditunda dan bayaran yang sepatutnya dikembalikan selepas menarik diri gagal dikembalikan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa bersama 18 peserta lain ditawarkan peluang menunaikan umrah dengan sebuah syarikat melalui seorang bekas ketua wanita Umno cawangan pada 21 November tahun lalu.

Menurutnya, berminat dengan peluang itu, mangsa membuat bayaran pada 27 November 2018 dan dimaklumkan tarikh berangkat pada 1 Disember 2018.

“Bagaimanapun tarikh itu ditunda ke 20 Disember 2018 atas masalah tertentu .

"Bagaimanapun atas penundaan tarikh itu, penganjur bersedia memulangkan kembali bayaran dibuat peserta dalam tempoh tiga minggu sekiranya mereka mengambil keputusan untuk menarik diri,” katanya.

Mohd Wazir berkata, pengadu tidak berpuas hati apabila bayaran itu belum dikembalikan sehingga kini sedangkan pasport dan beberapa dokumen lain yang diserahkan sudah dipulangkan Januari lalu.

“Pengadu dapat maklumat dari kumpulan WhatsApp bahawa wangnya akan dikembalikan pada 14 Mac lalu, tetapi sehingga laporan polis dibuat, dia masih belum menerima wang tersebut," katanya.
Artikel Berkaitan:


Beliau berkata, keseluruhan kerugian dialami 19 peserta itu sebanyak RM41,800 dan 12 laporan polis dibuat setakat ini berkaitan kes tersebut.