Hala tuju Warisan sertai PRN Johor tidak jelas: Khaled Nordin

Mohamed Khaled (kanan) menerima borang kemasukan UMNO daripada bekas Ketua Bersatu Cawangan Tasek 64, Mohamad Noh Hamzah di Bilik Gerakan Jalan Tasek 21, Bandar Seri Alam, Pasir Gudang pada malam Jumaat.
Mohamed Khaled (kanan) menerima borang kemasukan UMNO daripada bekas Ketua Bersatu Cawangan Tasek 64, Mohamad Noh Hamzah di Bilik Gerakan Jalan Tasek 21, Bandar Seri Alam, Pasir Gudang pada malam Jumaat.
A
A
A

PASIR GUDANG - Parti Warisan (Warisan) yang melebarkan sayapnya ke Semenanjung dan cuba menjadi parti nasional tidak mempunyai agenda serta hala tuju yang jelas menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Warisan cuba menjadi parti nasionalis, tetapi tidak dapat membuktikannya dan ini dapat dilihat apabila hasrat menyertai PRN Johor hanya bertanding di kawasan yang mempunyai ramai penduduk Sabah dan Sarawak.

"Dari segi demokrasi memang kita alu-alukan sesiapa sahaja yang mahu bertanding, memang akan meriah demokrasi itu, tetapi itu bukan tujuan semata-mata yang kita cari.

"Apa yang penting bagi mana-mana parti politik yang masuk menyertai (PRN Johor) adalah apa projek politiknya, apa agendanya untuk Johor, bukan semata-mata masuk.

"Pada akhirnya, kita percaya dan berharap pengundi akan lihat setiap agenda parti politik. Lihat agendanya, kemampuannya, keupayaannya dan 'track record'. Kita nak mengundi (untuk tentukan masa depan) Johor dalam tempoh lima tahun, apa agenda untuk Johor," soalnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menerima kemasukan kira-kira 50 bekas ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Cawangan Tasek 64 di Bilik Gerakan Jalan Tasek 21, Bandar Seri Alam di sini pada malam Jumaat.

Pada Khamis, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan parti itu akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas dan persediaan untuk merampas kerusi tersebut kini giat dijalankan.

Dalam itu Mohamed Khaled turut mempersoalkan keberanian Warisan apabila hanya mahu fokus kepada pengundi Sabah dan Sarawak yang ramai di DUN Permas sedangkan bercita-cita menjadi sebuah parti nasional.

Artikel Berkaitan:

"Kenapa tidak mendekati pengundi biasa (bukan penduduk Sabah dan Sarawak) untuk memberi tawaran parti Warisan, terpaksa cari pengundi Sabah kerana mahu mainkan elemen (sentimen kenegerian) parti ini dari Sabah dan pemimpin dari Sabah," katanya.

Beliau berkata, terdapat 5,540 pengundi dari Malaysia timur terutama di daerah ini iaitu 2,199 pengundi Sabah, manakala 3,341 pengundi Sarawak.

"Bagi DUN Johor Jaya yang juga dalam Parlimen Pasir Gudang mempunyai 2,255 pengundi Sabah dan 1,370 pengundi Sarawak," katanya.

Ditanya sama ada penyertaan Warisan itu akan menjejaskan usaha Barisan Nasional (BN) untuk menawan semula kerusi DUN Permas, Mohamed Khaled berkata, jentera parti akan bekerja lebih kuat bagi memastikan kemenangan.

"Kemenangan tidak datang secara automatik, kita pernah kalah (dalam PRU14) dan kalah itu bukan sesuatu yang mustahil," katanya.