OKT positif Covid-19 meninggal dunia

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang lelaki yang juga orang kena tahan (OKT) yang sedang menunggu tarikh perbicaraan disahkan meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi, Johor pada Jumaat.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad berkata, lelaki berusia 43 tahun tersebut ditahan pada 21 Januari lalu oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi di Johor mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurutnya, OKT direman selama empat hari sebelum dituduh pada 25 Januari, namun kerana gagal mendapatkan penjamin, OKT direman di penjara sementara menunggu tarikh perbicaraan yang ditetapkan oleh mahkmamah pada 28 Februari.

"Bagaimanapun, OKT ditumpangkan sementara dalam lokap polis ekoran penularan wabak Covid-19 di penjara.

"Pada 16 Februari (Rabu), OKT dihantar ke Hospital Kota Tinggi, Johor untuk menerima rawatan kerana demam dan muntah.

"Hasil ujian mengesahkan OKT positif Covid-19 lalu ditahan di wad untuk rawatan lanjut dan pada 18 Februari (Jumaat) jam 4.15 pagi, OKT disahkan meninggal dunia," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, punca sebenar kematian masih belum dikenal pasti dan dalam siasatan polis.

"Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) JIPS Bukit Aman akan menjalankan siasatan kes kematian ini," ujarnya.

Artikel Berkaitan: