'Fahami geografi politik untuk tarik pengundi'

Rosmadi
Rosmadi
A
A
A

SHAH ALAM - Politik di negara ini perlu diberikan nafas baharu agar ia mampu terus relevan sekali gus memastikan proses demokrasi subur.

Felo Penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel), Profesor Madya Dr Rosmadi Fauzi berkata, parti politik di negara ini perlu melihat kepada cara baharu untuk menarik pengundi pada pilihan raya akan datang.

Menurutnya, semua parti politik perlu memahami pendekatan geografi politik dan menawarkan kaedah berbeza untuk memahamkan rakyat tentang sesuatu isu, kepentingan pilihan raya dan pendidikan demokrasi.

"Kajian kami di Umcedel dengan mengambil kira konteks geografi politik, memang ada perbezaan dari segi pemikiran rakyat. Contohnya, apa yang difikirkan oleh rakyat di Johor atau di Pulau Pinang adalah berbeza dengan apa yang difikirkan oleh rakyat yang berada di Kelantan dan Terengganu.

"Kalau kita bawa satu isu baharu, persepsi penerimaan rakyat itu berbeza di negeri-negeri serta penerimaan di bandar dan luar bandar.

"Jadi, apabila pemikiran berbeza, ia akan mempengaruhi dari segi tingkah laku untuk buat keputusan mengundi. Itu yang parti politik di negara ini kena faham," katanya dalam rancangan Agenda Awani bertajuk Suburkan Demokrasi Malaysia pada Jumaat.

Dalam pada itu, Rosmadi turut menjelaskan pendidikan politik perlu dimulakan lebih awal untuk memberi kefahaman mengenai proses pilihan raya kepada anak-anak muda.

Beliau berkata, negara jiran seperti Thailand dan Indonesia telah memulakan pendidikan politik kepada rakyat mereka bermula di peringkat sekolah lagi.

Artikel Berkaitan:

"Pendidikan politik ini harus kita terapkan khususnya kepada anak muda kita apatah lagi kita sedia maklum Undi 18 akan dilaksanakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

"Kalau kita mahu menuju ke arah pendemokrasian yang lebih subur, memang kita harus raikan pendidikan politik supaya literasi politik di negara kita ini meningkat dan anak muda lebih faham serta tahu tentang perjalanan pilihan raya di negara kita," katanya.