Penduduk rayu jambatan gantung dibaiki di Pitas

 Murid dari lima kampung terpaksa menggunakan perahu untuk berulang alik ke sekolah selepas jambatan gantung rosak akibat banjir baru-baru ini di Pitas.
Murid dari lima kampung terpaksa menggunakan perahu untuk berulang alik ke sekolah selepas jambatan gantung rosak akibat banjir baru-baru ini di Pitas.
A
A
A

PITAS - Penduduk di lima kampung di daerah ini merayu supaya jambatan gantung yang rosak teruk akibat banjir pada awal Januari lalu dapat dibaiki segera bagi memudahkan murid untuk ke sekolah.

Difahamkan, ketika ini seramai 58 murid dari lima kampung iaitu Kampung Bilangau Besar, Kampung Sapatalang, Kampung Salung kapit, Kampung Mandurian Laut dan Kampung Kobon terpaksa berulang alik menggunakan perahu menyeberangi Sungai Bengkoka untuk ke Sekolah Kebangsaan (SK) Dandun.

Ketua Kampung Bilangau, Edward Upak berkata, jambatan gantung itu rosak teruk dan sudah tidak boleh dilalui oleh penduduk ketika ini.

"Jambatan sepanjang lebih 90 meter itu secara keseluruhannya sudah tidak boleh digunakan dan rosak akibat banjir yang melanda pada 6 hingga 9 Januari lalu.

"Ada bahagian sudah putus dan di bahagian tengah senget serta tidak stabil untuk digunakan terutama murid sekolah dan ini membahayakan nyawa penduduk kampung," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Katanya lagi, disebabkan itu, ibu bapa murid dari lima kampung yang terjejas terpaksa menanggung kos tambang yang mencecah sehingga RM3 untuk perjalanan pergi dan balik.

"Rata-rata ibu bapa murid di lima kampung ini bekerja sebagai petani dan untuk membayar tambang itu menyebabkan mereka sedikit terbeban.

"Tambang untuk seorang murid RM2 dan jika ibu bapa turut serta mereka dikenakan RM3 seorang. Keadaan ini menyebabkan penduduk tidak mampu kerana pendapatan mereka cuma menampung perbelanjaan harian keluarga," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau lagi, jambatan itu turut dijadikan penghubung utama bagi penduduk yang mahu ke Klinik di Kampung Dandun.

"Kira-kira 30 kampung bergantung dengan jambatan ini termasuk mereka yang ingin ke klinik bagi mendapatkan rawatan kesihatan," katanya.

Sehubungan itu, Edward merayu supaya perkara ini dapat diketengahkan sekali gus dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk.

"Saya harap perkara ini dapat diambil perhatian dengan membaik pulih segera jambatan yang menjadi penghubung utama penduduk di kawasan ini.

"Ini adalah demi keselamatan penduduk kampung-kampung yang terlibat," katanya.