KKMM terima banyak aduan berita palsu PRN Johor: Annuar

Annuar (tengah) meluangkan masa beramah mesra bersama anak-anak muda pada Program Santai Anak Muda di sebuah kedai makan malam ini. Foto Bernama
Annuar (tengah) meluangkan masa beramah mesra bersama anak-anak muda pada Program Santai Anak Muda di sebuah kedai makan malam ini. Foto Bernama
A
A
A

KLUANG - Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menerima banyak aduan berkaitan berita palsu melibatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya akan memantau perkara berkenaan namun buat masa ini keadaan masih terkawal.

"Kita kena sepanjang masa memantau keadaan itu (berita palsu) dan kita tahu, kita tidak boleh menghapuskan 100 peratus tetapi kita menggerakkan dan membangkitkan kesedaran kerana menyebarkan berita palsu bukan sahaja tidak baik malah tidak membawa untung kepada sesiapa,” katanya selepas program Santai Anak Muda di Ngepot Kabin, di sini malam ini.

Mengenai pengundi muda pada PRN Johor, Annuar berkata, beliau yakin orang muda di negara ini mempunyai maklumat dan pengetahuan luas untuk mengambil bahagian dalam pentadbiran dan menentukan kepimpinan negara.

Terdahulu, Annuar yang mengadakan lawatan kerja tiga hari ke Johor bermula hari ini menunaikan solat maghrib bersama penduduk di Kampung Melayu di sini.

Beliau dijadual melancarkan Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) Zon Tengah di Felda Kahang Barat di sini pada pagi esok dan menyampaikan watikah Ketua Komuniti Keluarga Malaysia Zon Tengah di sini pada sebelah malam.

Pada Ahad, Annuar akan menghadiri Town Hall Bicara Keluarga Malaysia dan pelancaran Hari Radio Sedunia di Radio Televisyen Malaysia (RTM) Johor di Johor Bahru. - Bernama

Artikel Berkaitan: