Bekerjasama jayakan pendidikan politik

Dr Mohd Izani
Dr Mohd Izani
A
A
A

SHAH ALAM - Semua pihak perlu bekerjasama dalam menjayakan pendidikan politik di negara ini sama ada secara formal ataupun tidak formal.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata, pendidikan politik bukan semata-mata untuk pilihan raya, sebaliknya mengajar rakyat khususnya anak muda mengenai struktur pentadbiran negara.

“Bila berbuat demikian, barulah mereka faham kenapa mereka perlu mengundi.

“Kalau kita lihat di Indonesia, mereka mempunyai pendidikan pancasila dan kewarganegaraan di mana pendidikan tersebut mendedahkan mengenai struktur pemerintahan negara.

“Jadi ini yang penting dalam pendidikan politik. Bukan semata-mata kita mengajar tentang pilihan raya. Justeru, saya berpendapat semua pihak perlu bekerjasama menjayakan pendidikan politik sama ada secara formal ataupun tak formal,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Agenda Awani bertajuk ‘Suburkan Demokrasi Malaysia’ yang disiarkan pada Jumaat.

Mengulas mengenai sentimen anak-anak muda terhadap pilihan raya, Dr Mohd Izani melahirkan kebimbangan terhadap Undi 18 walaupun ia dilihat satu perkembangan yang baik dalam sistem demokrasi di negara Malaysia.

“Apabila saya turun di Johor baru-baru ini, kita lihat sentimen anak-anak muda untuk turun mengundi masih lagi rendah, malah mereka sendiri tidak tahu bahawa mereka sudah menjadi pemilih yang berdaftar.

Artikel Berkaitan:

“Kalau perkara ini masih lagi berlaku dan tidak ada tindakan yang serius dilakukan, kita khuatir akan berlaku ‘golongan putih’ yang mana tidak ambil tahu atau cakna dengan sistem pilihan raya.

“Ini sudah tentu akan memberi cabaran baru kepada proses demokrasi pilihan raya di negara kita,” katanya.