Noh Omar dilarang masuk Dewan Rakyat 3 hari

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR – Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming memutuskan Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjong Karang) dilarang memasuki Dewan Rakyat bagi menyertai sesi perbahasan selama tiga hari.

Keputusan itu diambil susulan tindakan Noh Omar semalam di Dewan Rakyat yang disifatkan sebagai melanggar Peraturan Mesyuarat Dewan apabila melemparkan tuduhan terhadap Kor Ming bahawa tidak layak menjawat jawatan berkenaan.

"Berdasarkan kelakuan Tanjong Karang yang tidak senonoh dan jelas sengaja melakukan perbuatan yang menghina majlis mesyuarat atau tidak mengendahkan kuasa pengerusi tohmahan yang dilemparkan menuduh pengerusi mesyuarat tidak layak memegang jawatan adalah satu perbuatan menghina majlis mesyuarat .

"Oleh yang demikian berdasarkan kuasa yang diberi di bawah Perkara 43 dan 44, saya dengan ini memerintah Tanjong Karang keluar daripada majlis mesyuarat bagi tempoh bagi tiga hari iaitu hari ini 19 Mac; 20 Mac dan 21 Mac, saya sarankan Tanjong Karang ambil iktibar tidak ulangi kelakuan menghina majlis mesyuarat pada masa akan datang dan berharap ahli majlis yang lain menjaga tertib," katanya di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Noh Omar bagaimanapun tidak hadir pada sesi perbahasan dewan pagi ini.

Semalam di Dewan Rakyat berlaku 'perang' antara Kor Ming dan Noh Omar berhubung kenyataan yang mengaitkan kerjasama Pas dan UMNO dengan Taliban.

Artikel Berkaitan: