Lelaki Bangladesh cuba sogok polis RM200 ditahan

Lelaki warga Bangladesh ditahan polis kerana cuba memberi rasuah bagi mengelak dikenakan saman trafik di Lumut. Foto: ihsan Polis Daerah Manjung
Lelaki warga Bangladesh ditahan polis kerana cuba memberi rasuah bagi mengelak dikenakan saman trafik di Lumut. Foto: ihsan Polis Daerah Manjung
A
A
A

LUMUT - Seorang lelaki warga Bangladesh ditahan kerana cuba memberi rasuah wang tunai RM200 kepada anggota polis di di Batu 10, Segari di sini pada Rabu.

Dalam kejadian sekitar jam 5.20 petang itu, sepasukan anggota dari Balai Polis Segari sedang membuat rondaan cegah jenayah di jalan terbabit.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, lelaki berusia 41 tahun itu ditahan kerana tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal.

"Anggota ingin mengambil tindakan dengan mengeluarkan saman, namun lelaki tersebut cuba menyogok anggota dengan menawarkan wang bernilai RM200.

"Tindakan itu adalah bagi melepaskan diri daripada diambil tindakan kesalahan lalu lintas," katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.

Menurutnya, suspek berdegil mahu memberikan wang tersebut meskipun polis telah memberi amaran sebanyak dua kali.

"Amaran diberikan kerana perbuatannya itu adalah salah di sisi undang-undang, namun lelaki tersebut masih mengulangi perbuatannya.

"Anggota kemudiannya bertindak menahan suspek dan menyerahkan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada pasukan polis terbabit yang telah menjalankan tugas dengan amanah dan berintegriti.