75,352 pesara terima RM500 mulai esok

A
A

PUTRAJAYA - Bayaran khas sebanyak RM500 secara one-off kepada 75,352 penerima pencen di bawah RM1,000 bagi yang berkelayakan akan dibayar mulai esok (20 Mac).

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam satu kenyataan berkata, bayaran bantuan ini dilaksanakan sejajar dengan keputusan Belanjawan 2019 yang dibentangkan November lalu.

"JPA bersama Jabatan Hal Ehwal Veteran telah mengenalpasti senarai penerima pencen di bawah RM1,000 bagi memastikan bantuan ini dibayar kepada penerima yang layak.

"Semakan secara menyeluruh telah dibuat melalui pelbagai agensi antaranya Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Jabatan Akauntan Negara Malaysia, Bendahari Negeri, Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia (Perkeso), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, keprihatinan kerajaan dalam melaksanakan pembayaran ini diharapkan dapat memberi keselesaan dan memenuhi keperluan semasa pesara kerajaan terlibat.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia