Padah tetapkan syarat pembelian minyak masak peket

Anggota KPDNHEP Cawangan Kulim melakukan pemeriksaan di sebuah kedai runcit di Taman Kenari, Kulim selepas menerima aduan awam tentang pembelian minyak masak peket bersyarat.
Anggota KPDNHEP Cawangan Kulim melakukan pemeriksaan di sebuah kedai runcit di Taman Kenari, Kulim selepas menerima aduan awam tentang pembelian minyak masak peket bersyarat.
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Tindakan seorang pemilik kedai runcit di Taman Kenari, Kulim di sini yang menetapkan syarat pengguna perlu membeli barangan keperluan lain sebelum dibenarkan membeli minyak masak peket membawa padah apabila dia ditahan pada Jumaat.

Ketua Pegawai Penguat kuasa Daerah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Kulim, Mohd Fazly Edros memaklumkan, pemilik premis yang berusia lingkungan 50-an itu ditahan untuk soal siasat.

Katanya, KPDNHEP Cawangan Kulim melakukan pemeriksaan di premis tersebut kira-kira jam 10.30 pagi selepas menerima aduan awam berkaitan pembelian bersyarat minyak masak peket sekilogram.

"Semasa pemeriksaan dijalankan salah seorang anggota melakukan penyamaran bagi mengetahui adakah benar syarat dikenakan kepada pengguna yang ingin membeli minyak masak peket sekilogram.

"Hasil penyamaran mendapati pemilik premis sememangnya mengenakan syarat supaya pengguna perlu membeli barang keperluan lain seperti gula, tepung gandum atau sardin terlebih dahulu," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Katanya, pemilik premis akan menjual minyak masak peket sekilogram yang ada dalam simpanannya selepas pembelian itu dilakukan pengguna.

Sebanyak 70 kilogram minyak masak paket sekilogram dikesan disimpan dalam kedai runcit di Taman Kenari, Kulim, di sini, ketika pemeriksaan KPDNHEP Kulim pada Jumaat.
Sebanyak 70 kilogram minyak masak paket sekilogram dikesan disimpan dalam kedai runcit di Taman Kenari, Kulim, di sini, ketika pemeriksaan KPDNHEP Kulim pada Jumaat.

"Selepas itu, pasukan serbuan masuk ke dalam premis dan ketua pasukan menerangkan bahawa adalah menjadi suatu kesalahan sekiranya pemegang lesen runcit (CSA) barang kawalan mengenakan apa-apa syarat belian sebelum menjual barang kawalan kepada pengguna," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 70kg minyak masak peket sekilogram disimpan dalam kedai runcit tersebut.

Menurut Mohd Fadzly, pemilik premis mengakui mengenakan syarat belian barang lain sebelum menjual minyak masak peket.

"Pemilik kedai memaklumkan tindakan itu diambil kerana terlalu ramai pelanggan ingin membeli minyak masak peket dengan kuantiti yang banyak dan ada pelanggan sama berulang kali datang dan hanya membeli minyak masak paket sahaja," katanya.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 19 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana mengenakan syarat tidak sah dalam penjualan barangan kawalan.

Kata beliau, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut sama ada pemilik akan dikenakan kompaun atau didakwa di mahkamah.

"Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua- duanya sekali, manakala bagi syarikat boleh didenda tidak melebihi RM2 juta," katanya.