Suami isteri proses, edar dadah ditahan bersama 242kg ganja

Yahaya Othman menunjukkan dadah yang berjaya dirampas dalam Ops Arlene di Kuala Lumpur.
Yahaya Othman menunjukkan dadah yang berjaya dirampas dalam Ops Arlene di Kuala Lumpur.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sepasang suami isteri ditahan polis selepas disyaki memproses dan mengedar dadah dalam dua serbuan di sini pada Rabu dan Khamis.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, polis turut merampas 244 ketulan mampat ganja seberat 242 kilogram (kg) bernilai RM605,000 dalam serbuan dijalankan.

"Pasangan berusia 27 dan 29 tahun itu disyaki memproses dadah di sebuah pangsapuri yang didiami bersama anak mereka berusia dua tahun.

"Pasangan tersebut menggunakan platform media sosial untuk berhubung dengan pelanggan dan akan memproses serta menghantar sendiri dadah yang dipesan," katanya ketika sidang akhbar di Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini pada Jumaat.

Yahaya berkata, dalam serbuan pertama di sebuah tempat letak kereta, polis menahan seorang lelaki dan perempuan tempatan serta merampas 10 ketulan mampat ganja di dalam sebuah pacuan empat roda.

"Hasil soal siasat, polis membuat serbuan kedua di sebuah pangsapuri di Kuala Lumpur dan merampas 234 ketulan mampat seberat 232kg dadah jenis ganja dan beberapa peralatan memproses dadah.

"Sumber dadah-dadah ini dipercayai datang daripada negeri utara," katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati pasangan tersebut bergerak secara sendiri dan mula mengedar dadah sejak dua bulan lalu.

Artikel Berkaitan:

"Polis turut merampas dua buah mesin memproses dadah, tujuh bahan memproses dadah dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.

"Kesemua suspek direman tujuh hari di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman mati," katanya.