22 lokasi panas ceroboh hutan simpan di Terengganu dipantau

Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu sentiasa melakukan rondaan dan pemantauan bagi mengekang aktiviti pencerobohan hutan simpan. - Gambar hiasan
Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu sentiasa melakukan rondaan dan pemantauan bagi mengekang aktiviti pencerobohan hutan simpan. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU – [DIKEMAS KINI] Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu mengenalpasti 22 lokasi panas yang dikesan kerap kali berlaku kesalahan melanggar peraturan-peraturan hutan di kawasan hutan simpan kekal negeri ini.

Timbalan Pengarahnya, Azni Rahman A Wahid berkata, semua lokasi itu dikesan hasil pemantauan dan rondaan yang dilakukan oleh pegawai dan penguat kuasa perhutanan ke atas lebih 540,000 hektar hutan simpan kekal terdapat di Terengganu.

Menurutnya, antara kaedah pemantauan dibuat adalah melalui operasi bersepadu bersama pelbagai agensi lain bagi memastikan sumber hutan negeri terjamin daripada segala anasir-anasir penerokaan dan pencerobohan hutan.

“Sebagai contoh, sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina baru-baru ini, kita adakan sebanyak empat operasi rimba secara bersepadu selama seminggu bermula 29 Januari hingga 6 Februari.

“Operasi ini melibatkan 75 kakitangan perhutanan dengan pemantauan dilakukan selama 24 jam bersama pelbagai agensi,” katanya di sini pada Jumaat.

Selain itu Azni Rahman berkata, kaedah teknologi terkini seperti pemantauan melalui udara menerusi helikopter dan penggunaan dron turut dipraktikkan jabatan tersebut bagi membolehkan sebarang pencerobohan hutan dikesan.

Katanya, Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan penggunaan imej satelit secara berkala turut digunakan jabatan perhutanan.

“Ini bagi melihat dan merekod sebarang perubahan gambaran hutan, jika didapati berlaku perbezaan keadaan hutan maka siasatan lanjut akan digerakkan di lapangan tersebut,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Azni Rahman turut memaklumkan sebanyak 72 kes kesalahan hutan berjaya dikesan dengan 66 kertas siasatan telah dibuka membabitkan kompaun lebih RM619,000 di negeri ini sepanjang tahun lepas.

"Penguatkuasaan secara konsisten menemui banyak kesalahan seperti transit membawa hasil hutan tanpa kebenaran, penerokaan hutan dan penebangan balak tanpa lesen dilakukan pihak tidak bertanggungjawab," katanya.

Menurutnya, bagi tahun ini Jabatan Perhutanan mengesan dua kes melibatkan tangkapan tiga lelaki warga Kemboja yang menceroboh kawasan Hutan Simpan Tembat, Hulu Terengganu pada bulan lalu.

"Kesemua mereka telah dihukum penjara selama lapan bulan.

“Kita tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk pencerobohan dan pencurian sumber hutan. Oleh itu kita mengalu-alukan sebarang aduan jika berlakunya sebarang kes kesalahan hutan untuk tindakan lanjut,” ujarnya.