Guru besar ditahan disyaki salah guna kedudukan

Seorang guru besar di sebuah sekolah di Kota Kinabalu, Sabah ditahan SPRM selepas disyaki menyalahgunakan kedudukannya.
Seorang guru besar di sebuah sekolah di Kota Kinabalu, Sabah ditahan SPRM selepas disyaki menyalahgunakan kedudukannya.
A
A
A

KOTA KINABALU - Seorang guru besar di sebuah sekolah di daerah ini ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah selepas disyaki menyalahgunakan kedudukannya untuk melantik ahli keluarga membabitkan kontrak pembekalan bernilai RM36,000.

Lelaki berusia 50 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Kota Kinabalu kira-kira jam 10 pagi Jumaat.

Menurut sumber, lelaki berusia 50 tahun itu dipercayai melantik syarikat isteri dan adiknya untuk membuat pembekalan di sekolah tempatnya bertugas.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy yang mengesahkan tangkapan itu berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.

"Lelaki itu akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, Sabah dalam masa yang terdekat," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Sebelum itu, beliau memaklumkan pada 2019 sehingga awal tahun ini, seramai 13 pengetua dan guru besar ditahan serta dituduh atas kesalahan di bawah Akta SPRM 2009, manakala dua lagi telah dijatuhkan hukuman.

Katanya, SPRM sejak 2019 telah mengadakan beberapa sesi penerangan berhubung kesalahan di sekolah kepada guru besar dan pengetua dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS).

"Antara program terkini yang telah dianjurkan oleh SPRM Sabah ialah Seminar Kepimpinan Pendidikan Majlis Guru Besar Daerah Sandakan dan Beluran pada di Kota Kinabalu pada 6 Februari lalu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua guru besar dan pengetua sekolah serta seluruh warga pendidik agar tidak menyalahgunakan jawatan dan sentiasa memikul amanah yang telah diberikan dengan integriti yang tinggi.