Kes demam campak meningkat 200 peratus

Dr Sha’ari Ngadiman
Dr Sha’ari Ngadiman
A
A
A
KUANTAN - Wabak demam campak di negeri ini menunjukkan peningkatan sehingga 200 peratus apabila 21 kes direkodkan sehingga Mac berbanding hanya tujuh kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Indera Dr Sha’ari Ngadiman berkata, daerah Kuantan menyumbang jumlah kes tertinggi iaitu 19 kes (90.4 peratus) manakala Rompin dan Temerloh masing-masing satu kes.

Menurutnya, hampir 30 kes demam campak di negeri ini didapati dialami pengidap yang tiada suntikan vaksin measles.

“Peratusan tinggi kes demam campak ini amat membimbangkan, justeru kita minta ibu bapa membawa anak-anak ke klinik terdekat untuk mendapatkan vaksin measles bagi memastikan mereka dilindungi daripada jangkitan dan komplikasi.

“Vaksin measles diberikan sebanyak dua dos kepada kanak-kanak di bawah Jadual Imunisasi Kanak-Kanak Kebangsaan pada usia 9 dan 12 bulan,” katanya.

Dr Sha’ari berkata, liputan imunisasi melebihi 95 peratus akan memastikan imuniti kelompok kekal tinggi bagi mengekang penularan jangkitan measles dalam kalangan masyarakat.

Katanya, vaksin measles membantu menurunkan risiko jangkitan dan mengurangkan keterukan penyakit serta mencegah kematian.

“Demam campak ini mudah merebak melalui udara dengan titisan cecair dari mulut dan hidung semasa bercakap, batuk dan bersin.

“Antara gejala penyakit ini seperti demam, ruam, batuk, selsema dan sakit mata (konjunktivitis). Orang ramai disaran agar segera berjumpa doktor sekiranya mengalami gejala tersebut untuk rawatan segera,” katanya.
Artikel Berkaitan:


Menurutnya, kanak-kanak yang mengalami demam campak perlu diasingkan dan tidak boleh dihantar ke pusat jagaan, taska atau sekolah.

“Elakkan bawa kanak-kanak yang dijangkiti hadir ke perjumpaan atau perhimpunan terutama melibatkan kumpulan berisiko seperti bayi, pesakit mengalami imuniti rendah, penghidap kanser, penghidap HIV/Aids dan mereka yang menerima rawatan kemoterapi,” katanya.