Kerajaan ambil langkah proaktif pulih ekonomi

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali -Foto Bernama
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali -Foto Bernama
A
A
A

KULAI - Kerajaan mengambil langkah proaktif bagi memastikan ekonomi negara dapat dipulihkan sekali gus mengelakkan daripada berlaku kelembapan aktiviti ekonomi susulan peningkatan kes Covid-19 ketika ini.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata antara langkah proaktif yang diperkenalkan adalah cadangan pembukaan semula sempadan pada 1 Mac depan, yang disyorkan oleh Majlis Pemulihan Negara (MPN).

"Kita harus mengambil pendekatan yang bertanggungjawab, bukan sahaja untuk menangani penularan Covid-19, tetapi juga kerajaan melalui MPN telah memperkenalkan langkah proaktif untuk memastikan aktiviti ekonomi negara dapat dipulihkan.

"Ia termasuk pembukaan sempadan negara dalam masa terdekat ini untuk membolehkan rantaian bekalan dan rantaian nilai global tidak terganggu, kerana Malaysia merupakan antara negara yang aktif dalam rantaian global,” katanya pada sidang media selepas melawat sebuah kilang pengeluar keropok lekor yang berada di bawah program tanggungjawab sosial korporat SIRIM Bhd, di sini,hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sekiranya peningkatan kes Covid-19 di negara ketika ini akan menyebabkan kelembapan kepada aktiviti ekonomi.

Turut hadir Pengurus Besar Kanan Pemasaran Kumpulan dan Pejabat Wilayah Perancangan Strategik Kumpulan SIRIM Abdul Ghani Abdul Rahman dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Tosrin Jarvanthi.

Mohamed Azmin berkata beliau turut yakin peningkatan kes Covid-19 ketika ini dapat dikawal dengan lebih berkesan, berdasarkan pengalaman Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selama dua tahun mengendalikan penularan pandemik itu.

Beliau berkata ia turut membuktikan bahawa Program Imunisasi COVID-19 yang bermula pada Februari tahun lepas serta pengambilan dos penggalak, telah berjaya memberikan kesan yang positif sekali gus menyaksikan Malaysia sebagai antara negara terbaik dalam menjayakan program vaksinasi.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga lihat sistem kesihatan awam negara (ketika ini) terkawal, (dengan) penggunaan katil unit rawatan rapi amat rendah berbanding apa yang berlaku dua tahun lalu,” katanya.

Sementara itu mengenai SIRIM, Mohamed Azmin berkata institusi penyelidikan dan inovasi industri itu telah membantu seramai 30 pengusaha mikro dan industri kecil dan sederhana (IKS) yang terjejas akibat pandemik tersebut sejak Ogos tahun lepas.

Beliau berkata antara bantuan yang diberikan adalah pembangunan jenama, pelabelan, kandungan nutrisi, bahan promosi dan kursus asas pemasaran digital.

"MITI dan SIRIM akan terus membantu usahawan dan industri, sama ada mikro atau IKS untuk segera meneruskan aktiviti perniagaan.

"Kita juga meletakkan harapan tinggi agar produk mereka bukan sahaja berada dalam pasaran tempatan, tetapi juga pada peringkat global menerusi teknologi e-dagang dalam talian” katanya. - Bernama