Dari suka-suka akhirnya bergelar penternak

Zainol Abidin mengusap lembu kesayangannya yang diberi nama Merah.
Zainol Abidin mengusap lembu kesayangannya yang diberi nama Merah.
A
A
A

KUBANG PASU - Seorang pesara guru tidak menyangka niatnya yang hanya sekadar untuk menggembirakan arwah ibunya yang sakit empat tahun lalu telah mengubah hidupnya menjadi seorang penternak pada hari ini.

Zainol Abidin Mohamad, 63, berkata, ia bermula sekitar tahun 2018 apabila dia membuat keputusan membeli sepasang lembu dan kambing sebagai terapi untuk arwah ibunya Bibi Fatimah Abdul yang tidak sihat.

"Ibu saya sangat sukakan haiwan, oleh sebab itu saya hadiahkan lembu dan kambing untuk gembirakan dia dan kuatkan semangatnya melawan sakit.

"Kesemua haiwan ternakan terbabit ditempatkan di kebun kami, dan alhamdulillah ibu pun beransur sihat ketika itu," katanya ketika ditemui di ladang penternakan Fatimah MZ Agro Farm di Jalan Sintok di sini pada Jumaat.

Menurutnya, pada tahun 2020 ketika pandemik Covid-19 melanda negara, dia tidak dapat meneruskan kerjaya sebagai guru tuisyen dan banyak masa dihabiskan bersama haiwan ternakan terbabit.

"Ketika itu, kedua-dua haiwan ini telah membiak sehingga saya terpaksa membina kandang untuk keselesaan mereka," katanya.

Zainol Abidin menambah, lama-kelamaan penternakannya semakin berkembang sehingga dia mula menerima permintaan untuk menjalankan ibadah korban pada tahun itu.

"Saya tidak menyangka buat pertama kalinya saya berjaya menjual 100 ekor lembu untuk ibadah korban walaupun dalam keadaan pandemik ketika itu.

Artikel Berkaitan:

"Ia satu pengalaman yang berharga dan menyuntik semangat saya untuk terus menjadi penternak yang berjaya dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat," katanya.

Ladang ternakan Zainol Abidin di Jalan Sintok kini menempatkan 42 ekor rusa, 163 ekor lembu dan 210 ekor kambing.
Ladang ternakan Zainol Abidin di Jalan Sintok kini menempatkan 42 ekor rusa, 163 ekor lembu dan 210 ekor kambing.

Menurutnya, ladang penternakan seluas empat hektar itu menempatkan 42 ekor rusa, 163 ekor lembu dan 210 ekor kambing pada ketika ini.

"Apabila semakin banyak permintaan saya mula menambah haiwan ternakan dan alhamdulillah kesemua haiwan di sini dijaga dengan rapi oleh pekerja terlatih.

"Saya juga mengutamakan sumber makanan haiwan yang halal dan sihat selain memastikan mereka menerima suntikan vaksin secukupnya daripada veterinar untuk mengelak sebarang penyakit berjangkit," katanya.

Zainol Abidin berkata, melihat sambutan daripada pelanggan yang gemarkan suasana kampung di ladangnya, dia kini dalam perancangan untuk memperkenalkan konsep agro pelancongan.

Menurutnya, orang ramai boleh masuk dengan kadar bayaran minimum untuk melawat haiwan ternakan di sini selain melakukan aktiviti-aktiviti yang disediakan seperti memancing.

"Kami juga akan menawarkan masakan dengan konsep 'from farm to table' iaitu makan malam di sini secara tempahan. Kami memang sudah ada tukang masak khas di sini dan menu popular yang sering ditempah oleh pelanggan adalah kurma kambing.

"Orang ramai yang berhasrat untuk mengadakan hari keluarga dan lain-lain sambutan boleh datang ke sini," katanya yang mengusahakan ladang berkenaan bersama dua anaknya, Mohd Alias, 29, dan Mohd Hanif, 27.

Tambahnya, satu ruang di tepi sungai juga akan dibina supaya pelanggan boleh bersantai sambil makan malam dan menikmati suasana kampung di situ.