Pencemaran kimia: 92 tabika, taska ditutup

Seorang pekerja melihat kerja-kerja pemunggahan guni-guni yang berisi tanah dari Sungai Kim Kim yang telah dibersihkan di Taman Pasir Putih, Pasir Gudang semalam. Foto: RAJA JAAFAR ALI
Seorang pekerja melihat kerja-kerja pemunggahan guni-guni yang berisi tanah dari Sungai Kim Kim yang telah dibersihkan di Taman Pasir Putih, Pasir Gudang semalam. Foto: RAJA JAAFAR ALI
A
A
A

PASIR GUDANG - Sebanyak 92 tabika dan taska turut diarah tutup berkuatkuasa pada tarikh yang sama dengan penutupan sekolah di Pasir Gudang di sini susulan pencemaran bahan kimia di Sungai Kim Kim.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian, Dr Sahruddin Jamal berkata, jumlah berkenaan membabitkan 64 tabika dan 1 taska di Parlimen Pasir Gudang, 25 tabika dan 1 taska di Parlimen Tebrau dan 1 tabika di Parlimen Tenggara.

Menurutnya, menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik kesemua 111 sekolah yang diarahkan tutup serta merta sejak 14 Mac lalu masih belum boleh dibuka sehingga ke satu tarikh yang akan diumumkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Keputusan ini dibuat setelah beliau diberi taklimat oleh agensi yang terlibat. Pihak KPM akan sentiasa mengemas kini sebarang informasi terkini dari semasa ke semasa berkaitan insiden ini.

"Sementara kualiti udara di Pasir Gudang semakin pulih dan pemantauan berterusan dijalankan oleh pasukan pemantau Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) bagi memastikan keadaan benar-benar stabil.

"Pemantauan telah dilakukan di 42 buah sekolah oleh 30 pasukan pemantau MESTECC di sekitar Pasir Gudang.

"Pemantauan berkenaan dibuat pada jam 12 tengah hari, 3 petang dan 6 petang pada 17 Mac oleh anggota Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Kimia Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, secara keseluruhannya, hampir semua sekolah menunjukkan nilai Volatile Organic Compound (VOC) 0 peratus.

Artikel Berkaitan:

Namun hanya bacaan di Sekolah Kebangsaan Taman Rinting 3 yang menunjukkan sekali sahaja bacaan VOC pada kadar 5 ppm dan 3 ppm pada jam 3 petang di aras bawah dan aras satu sekolah tersebut semasa pemantauan Ahad lalu.

Katanya, tiada bacaan hidrogen disulfida (H2S) dicatatkan di semua sekolah dan beliau turut memaklumkan pemantauan pada waktu yang sama akan dilakukan secara berterusan.