5G: Isu DNB, SWN diselesaikan Mac ini

Annuar - Foto Bernama
Annuar - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kedudukan Digital Nasional Berhad (DNB) dan isu pemilihan rangkaian borong tunggal (SWN) dalam pelaksanaan perkhidmatan 5G yang menjadi polemik akan diselesaikan awal Mac ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya bersama Kementerian Kewangan (MOF) akan membentangkan Memorandum Jemaah Menteri.

"Kedua-dua kementerian telah menyiapkannya semalam (Khamis) dan draf Memorandum Jemaah Menteri akan diedarkan kepada beberapa kementerian yang terkait untuk mendapatkan pandangan," katanya kepada pemberita selepas majlis apresiasi Operasi Bantu Hingga Selesai (Ops BAHIS) di kementeriannya pada Jumaat.

Menurutnya, tempoh dua minggu dianggarkan KKMM untuk mendapatkan pandangan tersebut.

"Selepas itu pada awal Mac iaitu 3 atau 4 Mac kita akan bentangkan untuk jemaah menteri membuat keputusan," katanya.

Beliau berkata, sekiranya isu tersebut tidak diselesaikan segera ia akan menjejaskan pelaksanaan perkhidmatan 5G negara yang merupakan kunci utama kepada program Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan pelaksanaan MyDigital.

"KKMM dan MOF telah diarahkan jemaah menteri untuk untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan ini," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai perkembangan kemelut isu berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Pada Disember lalu, Timbalan Menteri KKMM, Datuk Zahidi Zainul Abidin pada sidang Dewan Rakyat memaklumkan bahawa pelantikan DNB sebagai pelaksana tunggal 5G di Malaysia diputuskan Kementerian Kewangan (MOF) adalah tanpa berbincang dengan KKMM.

Bagaimanapun Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dilaporkan berkata, pemilihan model SWN dalam pelaksanaan 5G di Malaysia, sudah dibincangkan antara MOF dan KKMM di kabinet sejak tahun 2019.

Sementara itu, pada perkembangan lain Annuar berkata, pihaknya berpuas hati dengan gerak kerja projek Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela).

"Setakat ini kita berpuasa hati dengan roll-out Jendela yang mengikut jadual malah sedikit mendahului jadual," katanya.

Ujarnya, projek pembekalan, kerja serta perkhidmatan penyediaan dan penyelenggaraan Titik Kehadiran (PoP) turut berada pada tahap yang baik.

"Kita sasarkan sembilan juta premis namun sekarang telah mencapai tujuh juta dan pada tahun 2023, kita akan dapat capai sehingga 100 peratus," katanya.