40 pekerja pembersihan tuntut tunggakan gaji empat bulan

Pekerja pembersihan berhimpun secara aman di kawasan lapang berhampiran PPD Sabak Bernam pada Jumaat bagi menuntut tunggakan gaji selama hampir empat bulan.
Pekerja pembersihan berhimpun secara aman di kawasan lapang berhampiran PPD Sabak Bernam pada Jumaat bagi menuntut tunggakan gaji selama hampir empat bulan.
A
A
A

SABAK BERNAM - [DIKEMAS KINI] Kira-kira 40 pekerja pembersihan di daerah Sabak Bernam berkumpul secara aman pada Jumaat di kawasan lapang berhampiran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sabak Bernam bagi menuntut tunggakan gaji selama hampir empat bulan.

Perhimpunan pada jam 8.30 pagi itu berlangsung kira-kira satu jam 30 minit dengan masing-masing memegang sepanduk bagi menuntut pihak kontraktor pembersihan melunaskan pembayaran gaji pada kadar segera.

Malah, Penyelaras Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK), S Koyilwani dan wakil pekerja, Osman Utot turut menghantar tuntutan itu ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sabak Bernam pada jam 9.50 pagi.

Koyilwani berkata, tuntutan itu dibuat bagi membela nasib pekerja di 19 sekolah rendah dan menengah di daerah ini yang masih belum menerima gaji bulanan sejak November tahun lalu.

"Kita mengenal pasti dua syarikat pembersihan yang gagal menjelaskan tunggakan pembayaran gaji pekerja dan ini memberi kesulitan kepada mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup," katanya ketika sidang akhbar di sini pada Jumaat.

Koyilwani berkata, difahamkan ada dalam kalangan pekerja pembersihan terpaksa meminjam rakan terdekat dan saudara mara.

"Sebahagian mereka (pekerja pembersihan) sudah ada tanggungan dan ada antara mereka perlu menjelaskan hutang piutang," ujarnya.

Sehubungan itu, katanya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diminta untuk menyenarai hitam mana-mana kontraktor yang gagal melunaskan bayaran gaji pekerja.

Artikel Berkaitan:

"Kontraktor bertanggungjawab perlu menyelesaikan perkara ini segera dan sekiranya gagal kita meminta KPM tidak memberi sebarang tender kepada kontraktor terlibat pada masa akan datang," katanya.

Selain itu, katanya, sekiranya perkara itu masih tidak ditangani, pihaknya tidak teragak-agak untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat perkara tersebut.

"Setakat ini kami bercadang membuat laporan polis dan jika masih tiada tindakan kemungkinan perkara ini perlu dilaporkan kepada SPRM," katanya

Seorang pekerja pembersihan yang hanya mahu dikenali sebagai Roslan, 32, berkata, masalah dialami menyebabkannya terpaksa bekerja sambilan di sebuah kedai cat kereta.

"Saya bekerja di kedai cat kereta pada sebelah malam untuk mendapatkan wang tambahan disebabkan tidak menerima gaji hampir empat bulan," jelasnya.

Roslan memberitahu, keadaan bertambah sukar apabila isterinya menghidap kanser darah putih yang memerlukan perbelanjaan tinggi.

Katanya, kos rawatan dan perjalanan ke Hospital Ampang sahaja mencecah RM1,000 sebulan selain perbelanjaan harian lain.

"Saya sudah bekerja di sini tiga tahun dan keadaan ini amat menyulitkan kami sekeluarga terutama dalam keadaan kesihatan isteri tidak mengizinkan," ujarnya.

Seorang lagi pekerja mahu dikenali sebagai Ahmad, 41, berkata, kehidupan mereka sekeluarga dihimpit tekanan lebih-lebih lagi rumah sewanya tertunggak sejak tiga bulan lalu.

Katanya, pada masa ini, dia hanya bergantung harap pada isterinya yang hanya bekerja sebagai pembantu kedai makan.

"Saya buntu apabila duit gaji masih tertunggak dan ini menyulitkan kehidupan kami sekeluarga lebih-lebih lagi saya menanggung seorang anak berusia tiga tahun.

"Bayaran utiliti pun perlu dijelaskan, selain kos lampin pakai buang dan susu anak sahaja melebihi RM500 sebulan," katanya.

Sementara itu, Sinar Harian sedang mendapatkan maklum balas daripada KPM berhubung isu terbabit.