Ramai tak perbaharui lesen memandu, cukai jalan

Mohammad Yusoff menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah treler ketika Operasi Bersepadu Kenderaan Perdagangan oleh JPJ Perak di Plaza Tol Ipoh Utara arah selatan di sini pada malam Khamis.
Mohammad Yusoff menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah treler ketika Operasi Bersepadu Kenderaan Perdagangan oleh JPJ Perak di Plaza Tol Ipoh Utara arah selatan di sini pada malam Khamis.
A
A
A

IPOH - Alasan terlupa untuk memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan antara yang diberikan pengguna Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) ketika Operasi Bersepadu Kenderaan Perdagangan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak di Plaza Tol Ipoh Utara arah selatan di sini pada malam Khamis.

Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata, kebanyakan pemandu tidak menyedari pemberian moratorium untuk memperbaharui Lesen Memandu Malaysia (LLM) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) sudah pun tamat bermula Januari lalu.

Menurutnya, selain itu, operasi selama empat jam bermula 8 malam itu turut memberi fokus kepada kenderaan perdagangan yang membawa muatan melebihi had dibenarkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 selain mengesan kesalahan-kesalahan teknikal lain.

"Mereka masih leka dengan moratorium itu lagi. Kalau ikutkan lesen memandu tamat tempoh mengikut tarikh lahir, jadi kita mengharapkan setiap kali menyambut hari kelahiran tengok lesen.

"Kalau terlepas tempoh (perbaharui lesen), lekas perbaharui di kaunter JPJ berdekatan. Kita juga ada perkhidmatan di pejabat pos yang boleh membantu mereka selain rakan strategik iaitu Myeg," katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam operasi berkenaan.

Mohammad Yusoff berkata, operasi bersepadu tersebut membabitkan seramai 96 anggota terdiri daripada JPJ, polis, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Unit Peronda Lebuh Raya, Jabatan Imigresen Perak, Jabatan Pendaftaran Negara dan PLUS.

Menurutnya, dalam operasi itu sebanyak 159 saman dan notis dikeluarkan oleh JPJ atas pelbagai kesalahan manakala 101 notis lagi dikeluarkan oleh pihak polis.

Beliau berkata, Jabatan Imigresen turut membuat tangkapan terhadap lima individu manakala saringan air kencing dilakukan AADK turut mengesan tiga pengguna lebuh raya itu positif dadah.

Artikel Berkaitan:

"Objektif utama operasi ini bagi memastikan kenderaan perdagangan mengikut standard keselamatan yang telah ditetapkan serta memastikan kenderaan perkhidmatan pengangkutan awam selamat digunakan.

"Pelaksanaan penguatkuasaan seperti ini akan terus dilaksanakan oleh JPJ bagi memantau dan menguatkuasakan peraturan serta undang-undang jalan raya," katanya.

Menurut Mohammad Yusoff, pengguna jalan raya di seluruh negara diingatkan supaya memandu dengan berhemah dan sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan.