X

Kindly register in order to view this article
!

Bersedia hadapi catuan air

Taklimat bekalan air berjadual di Kompleks Penghulu Mukim Sungai Pinggan.
A
A

PONTIAN - Cuaca panas menyebabkan paras air di empangan menyusut seterusnya membawa kepada catuan air di sesetengah kawasan.

Langkah persediaan awal diambil Pejabat Daerah Pontian bersama Ranhill SAJ Daerah Pontian dengan mengadakan taklimat bekalan air berjadual di Benut kepada ketua kampung di Kompleks Penghulu Mukim Sungai Pinggan, semalam.

Penghulu Mukim Benut, Mohd Hisham Mazlan berkata, taklimat dihadiri 25 ketua kampung itu diadakan bertujuan memberi pendedahan tentang langkah persediaan sekiranya berlaku catuan air.

Ini kerana, daerah Pontian khususnya di kawasan Benut tidak pernah mengalami catuan air sebagaimana kerap berlaku sesetengah kawasan di Kota Tinggi mahupun daerah lain di negeri ini.

"Tiada lagi maklumat tentang tarikh sebenar akan berlaku catuan air. Tetapi kita perlu sentiasa bersiap sedia berdepan sebarang kemungkinan.

"Kita juga perlu gunakan air secara berhemah memandangkan ada kawasan di Kota Tinggi sudah mula dicatu bekalan air," katanya.

Jelasnya, taklimat yang diadakan itu turut menjelaskan punca bekalan air penduduk di kawasan Benut iaitu dari Empangan Simpang Renggam 2.

Sementara itu, Penyelaras DUN Benut, Zulkifly Tasrep berkata, taklimat diadakan bertujuan supaya maklumat tentang persediaan dan langkah menghadapi kemungkinan berlaku penjadualan bekalan air sampai kepada penduduk.

Katanya, ketua kampung akan menyampaikan maklumat tersebut yang sangat penting.

"Penduduk perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan kerana sedia maklum musim panas berlaku pada masa sekarang.

"Saya lihat hampir 80 peratus rumah kampung tidak mempunyai tangki simpanan. Jadi mereka perlu persediaan awal," katanya.

Sesi taklimat tersebut disampaikan Pengurus Operasi Ranhill SAJ Pontian, Razak Sufar dan Ketua Agensi Ranhill SAJ Pontian, Abd Azizi Kutiran.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!