Tabung Khas #Sinar4NZMartyrs: GPM puji usaha strategik Sinar Harian

CEO GPM Ahmad Fahmi Samsudin
CEO GPM Ahmad Fahmi Samsudin
A
A
A

SHAH ALAM - Global Peace Mission (GPM) Malaysia memuji usaha strategik Sinar Harian membuka tabung khas #Sinar4NZMartyrs bagi membantu keluarga mangsa yang meninggal dunia dan cedera dalam tragedi tembakan di dua masjid di Christchurch, New Zealand.

Ketua Pegawai Eksekutif Global Peace Mission (GPM) Malaysia, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, langkah itu dianggap sebagai tanda solidariti sebuah syarikat akhbar mengajak orang ramai peka terhadap isu yang menggemparkan dunia.

Menurutnya, langkah ini wajar diberi penekanan dengan menyalurkan bantuan kewangan kepada keluarga mangsa yang berdepan dengan tragedi menyayat hati.

“Bagi saya usaha ini juga sebagai ruang untuk melihat bagaimana kita boleh memberikan sedikit penerangan tentang Islam di New Zealand.

“Pada masa yang sama juga, GPM bersama beberapa pihak berhasrat mempromosikan usaha yang dimainkan Sinar Harian ketika menghantar satu nota diplomatik kepada Kedutaan New Zealand esok,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengenai perkembangan mangsa-mangsa terlibat, beliau turut mengharapkan usaha mengesan ahli keluarga yang masih belum dijumpai dapat dilakukan dengan segera bagi mengelakkan tanggapan buruk yang tersebar di media sosial.

Sebelum ini, Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata, kutipan itu terbahagi kepada tiga fokus utama iaitu mangsa yang meninggal dunia, cedera serta membantu membaik pulih Masjid Al Noor dan Masjid Linwood.

Menurutnya, dengan penubuhan tabung ini dapat meringankan beban keluarga mangsa menguruskan pengebumian dan membolehkan mangsa yang tercedera meneruskan kehidupan mereka.

Artikel Berkaitan: