Permohonan PPR Rantau dibuka

Aminuddin (tengah) merasmikan pelancaran Permohonan PPR Rantau di Jalan Rantau-Siliau di sini, semalam.
Aminuddin (tengah) merasmikan pelancaran Permohonan PPR Rantau di Jalan Rantau-Siliau di sini, semalam.
A
A
A

SEREMBAN - Projek Perumahan Rakyat (PPR) Rantau dijangka siap sepenuhnya dua bulan lagi.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, PPR Rantau kini berada di peringkat 95 peratus siap dan kini dibuka untuk permohonan.

Beliau berkata, kerajaan negeri telah mendapat kebenaran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk memulakan proses bagi membuka permohonan pengisian PPR di Rantau ini.

"Sebanyak 100 unit rumah telah dibina di kawasan yang strategik serta berdekatan jalan utama.

"PPR ini dibina atas tanah kerajaan negeri dengan keluasan 6 hektar yang lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti surau, pusat komuniti, tadika, gelanggang futsal, taman permainan dan gerai.

"Pembangunan ini adalah kerjasama erat kerajaan negeri serta KPKT di mana kita sediakan tanah, sementara pembangunan projek pula dilaksanakan oleh KPKT," katanya.

PPR Rantau dijangka siap sepenuhnya dua bulan lagi.
PPR Rantau dijangka siap sepenuhnya dua bulan lagi.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Majlis Pelancaran Permohonan PPR Rantau di Jalan Rantau-Siliau di sini, semalam.

Hadir sama Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru, Teo Kok Seong.

Tambahnya, orang ramai terutama mereka yang berpendapatan rendah (B40) yang berminat, boleh membeli borang permohonan rumah bernilai RM2 di Unit Perumahan Pejabat SUK di Wisma Negeri sehingga 17 Mei ini.

Harga seunit rumah PPR Rantau ini, dijual dengan kadar RM35,000, berbanding harga sebenarnya RM150,000, yang mana kerajaan telah memberi subsidi lebih RM100,000 bagi setiap unit.

Dalam pada itu, Aminuddin memberitahu, kerajaan negeri telah mencadangkan kepada KPKT sebanyak 11 tapak tanah merangkumi seluruh daerah bagi pembangunan PPR baharu.

Katanya, kerajaan negeri berharap ke semua tapak tanah tersebut dapat dipertimbangkan secara objektif dengan mengambil kira keperluan penduduk berpendapatan rendah.

"Sehingga kini, kami mempunyai permohonan lebih 3,000, yang mana ini adalah sangat tinggi berbanding jumlah unit yang ditawarkan.

"Dengan pembangunan lebih banyak rumah PPR seperti ini, kita berharap dapat membantu masyarakat berpendapatan rendah berpeluang untuk memiliki rumah sendiri pada harga yang rendah," katanya.

Tambahnya, selain PPR Rantau, terdapat dua lagi projek PPR yang sedang dibangunkan iaitu PPR Chembong dengan 452 unit dan PPR Ladang Tanah Merah sebanyak 100 unit rumah.