Bekas COO didenda RM200,000 kerana guna dokumen palsu

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (COO) sebuah syarikat pengurusan pepejal, Azmi Amin Sarji (kiri) didenda RM200,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, pada Khamis kerana menggunakan dokumen palsu.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (COO) sebuah syarikat pengurusan pepejal, Azmi Amin Sarji (kiri) didenda RM200,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, pada Khamis kerana menggunakan dokumen palsu.
A
A
A

ALOR SETAR - Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (COO) sebuah syarikat pengurusan sisa pepejal didenda RM200,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, pada Khamis, atas tiga pertuduhan pilihan menggunakan dokumen palsu sebagai tulen pada 2017 dan 2018.

Hakim Harmi Thamri Mohamad turut menetapkan hukuman penjara 12 bulan bagi setiap pertuduhan sekiranya tertuduh, Azmi Amin Sarji, 53, gagal menjelaskan denda berkenaan.

Bagi pertuduhan pilihan pertama, Azmi didakwa dengan curangnya menggunakan satu dokumen sebagai tulen iaitu sijil pembayaran bagi bulan November 2017 berjumlah RM74,489.53.

Kejadian dilakukan di pejabat syarikat pengurusan sisa pepejal di Bandar Stargate, Lebuhraya Sultanah Bahiyah, di sini pada 4 Jun 2018.

Dalam pertuduhan kedua, tertuduh didakwa sekali lagi dengan curangnya melakukan perbuatan sama melibatkan slip bayaran pada bulan Disember 2017 berjumlah RM74,489.53.

Kesalahan ini dilakukan pada tarikh dan lokasi sama dengan pertuduhan pilihan pertama.

Dalam pertuduhan pilihan ketiga, tertuduh bersama bekas Ketua Pegawai Eksekutif syarikat tersebut, Mohd Shaiful Anuar Zainal,53, didakwa dengan curangnya menggunakan satu dokumen sebagai tulen iaitu slip bayaran bagi bulan Mac 2017 berjumlah RM426,935.14.

Mereka melakukan perbuatan itu di lokasi sama antara 8 Mei hingga 9 Mei 2017.

Artikel Berkaitan:

Penggunaan kesemua dokumen tersebut yang mana dia dituduh mengetahui kesemuanya palsu, adalah untuk membolehkan pihak tertentu membuat tuntutan bayaran dari syarikat berkenaan.

Bagi pertuduhan pilihan pertama dan kedua, Azmi didenda masing-masing RM70,000 dan sekiranya gagal membayar denda itu dia boleh dipenjara 12 bulan.

Untuk pertuduhan pilihan ketiga, hukuman denda ditetapkan sebanyak RM60,000, yang mana jika gagal bayar boleh dipenjara 12 bulan.

Sebelum itu, peguam tertuduh, Shamsul Sulaiman meminta mahkamah memberikan hukuman ringan kepada tertuduh kerana dia pencari nafkah dan isterinya tidak bekerja.

“Selain itu, tertuduh juga perlu menjaga bapa yang telah tua dan menampung keperluan termasuklah bil perubatan dan barangan keperluan.

“Tertuduh juga memiliki kepakaran dalam bidang diceburi yang berguna kepada masyarakat dan pernah menerima pingat atas sumbangan baktinya,” katanya

Shamsul turut meminta mahkamah mempertimbangkan bahawa tertuduh langsung tidak menerima faedah daripada perbuatan itu, sebaliknya wang itu adalah untuk dana politik seperti dinyatakan dalam fakta kes.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sew Ping meminta hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan kepentingan umum.