Warga emas maut keluar simpang

(Gambar kiri) Motosikal yang dipandu mangsa dalam kejadian berkenaan. (Gambar Kanan) Lori yang terlibat dalam kemalangan berkenaan mengalami kerosakan di bahagian depan.
(Gambar kiri) Motosikal yang dipandu mangsa dalam kejadian berkenaan. (Gambar Kanan) Lori yang terlibat dalam kemalangan berkenaan mengalami kerosakan di bahagian depan.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang warga emas berusia 69 tahun maut apabila motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam satu kemalangan di Kampung Paya Keranji, Pasir Hor di sini awal pagi Khamis.

Dalam kejadian jam 7 pagi berkenaan, mangsa yang maut parah di bahagian kepala dan seluruh badan apabila motosikal jenis Modenas Kriss yang ditunggangnya dipercayai berlanggar dengan sebuah lori jenis Hino di lokasi berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd Suhaimi Ali berkata, lori itu membawa muatan tayar dan dipercayai dari arah Pasir Hor menghala ke Pasir Tumboh.

"Apabila sampai berhampiran Simpang Kampung Paya Keranji, tiba-tiba motosikal ditunggang mangsa dipercayai keluar simpang secara mengejut dan melintas ke seberang jalan dari arah Kampung Pasir Jelatang.

"Akibat jarak yang terlalu dekat, pemandu lori dipercayai tidak sempat mengelak lalu mengakibatkan pelanggaran dengan motosikal mangsa.

"Motosikal berkenaan kemudiannya diseret oleh lori sejauh 500 hingga 600 meter sebelum terpelanting dan terkena bahagian hadapan sebuah kereta jenis Proton Saga yang datang dari arah bertentangan iaitu Pasir Tumboh menghala ke Pasir Hor," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Menurutnya, pemandu lori dan pemandu kereta serta dua anaknya tidak mengalami sebarang kecederaan manakala bedah siasat terhadap mangsa akan dijalankan di Unit Forensik Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, punca kemalangan dipercayai daripada kecuaian penunggang motosikal sewaktu hendak keluar simpang berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.